Seorang murid sekolah yang baru berusia sembilan tahun tiba-tiba muntah dan pengsan dalam bilik air.
Tahu-tahu, dia mengalami gejala keracunan nikotin.
Puncanya?
Hanya kerana tertarik dengan rokok elektronik atau ‘vape’ pakai buang perisa ‘Mango Milk’ milik bapa saudaranya yang diambil secara sembunyi-sembunyi empat hari berturut-turut.
Dalam satu kes lain, dua pelajar cuba menghisap ‘vape’ yang dipinjam daripada kawan di tandas sekolah.
Pelajar pertama pening selepas ‘menikmati’ beberapa sedutan ‘vape’.
Pelajar kedua pula terkena sawan – kededua mereka keracunan ‘vape’ berperisa ‘mushroom’ yang disyaki mengandungi bahan terlarang.
Dua kisah malang itu merupakan antara ratusan kes keracunan akibat ‘vape’ yang direkodkan Pusat Racun Negara (PRN) Malaysia, membuktikan ancaman ‘vape’ khususnya kepada generasi muda terutama remaja dan pelajar sekolah di Malaysia bukan isu terpencil.
Pakar perubatan, kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan bersetuju ketagihan ‘vape’ yang semakin membimbangkan kini menjerumuskan penggunanya, termasuk anak muda seawal usia kanak-kanak, ke lembah dadah.
Mereka berpandangan ‘vape’, yang awalnya digambarkan sebagai alat bantu berhenti merokok konvensional, kini berubah wajah menjadi peranti ketagihan baru kepada nikotin dan dadah.
Malah, Pegawai Farmasi PRN, Cik Sulastri Samsudin, menegaskan apa yang lebih membimbangkan adalah ‘vape’ yang boleh dinikmati dalam bentuk cecair pelbagai perisa berasaskan buah-buahan, menyembunyikan ‘racun’ yang boleh membunuh tanpa sedar.
“Kajian menemui lebih 2,000 bahan kimia dalam wap aerosol ‘vape’. Banyak daripadanya beracun, termasuk mengandungi formaldehid yang juga digunakan sebagai agen pengawet mayat dan bahan penyebab barah,” katanya kepada Berita Minggu.
Pakar perubatan menegaskan, wap daripada ‘vape’ bukan saja merosakkan kesihatan pengguna, bahkan orang sekeliling – boleh merosakkan paru-paru dan otak bayi, menyebabkan gangguan mental, ketagihan dadah, serta kerosakan kekal kepada sistem pernafasan.
Perangkaan yang didedahkan juga membimbangkan – sekitar 400,000 pelajar sekolah berumur antara 13 dengan 17 tahun adalah pengguna ‘vape’, menurut kenyataan kumpulan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).
Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula mendedahkan trend penggunaan ‘vape’ membabitkan pelajar sekolah meningkat dengan kira-kira 20,000 golongan itu terjebak pada 2024.
Menurut data PRN, sekitar 81 peratus daripada kes ‘vape’ bercampur dadah sintetik pula melibatkan remaja berusia lingkungan 15 dan 20-an tahun.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi amaran, sindiket dadah mula mengambil alih pasaran gelap ‘vape’ – menjual ‘vape’ berisi bahan terlarang yang dijenamakan sebagai alat gaya hidup, sekali gus menjadikan ‘vape’ sebagai pintu masuk baru terkini membentuk pasaran penagih dadah baru.
Beberapa negeri seperti Johor dan Pahang sudah melaksanakan larangan keseluruhan ‘vape’, sementara beberapa negeri setakat ini hanya menguatkuasakan larangan jualan dan sebahagian lagi sedang mengkaji ke arah pengharaman peranti yang dianggap berbahaya itu.
Pelbagai pihak semakin agresif mendesak kerajaan Malaysia melaksanakan larangan nasional terhadap ‘vape’ secara total, namun pihak berkepentingan seperti pemain industri ‘vape’ termasuk peniaga ‘vape’ yang sah serta pengguna peranti itu menolak cadangan itu dan merayu pendekatan lebih seimbang.
Tetapi hakikat hari ini cukup jelas, ‘vape’ bukan lagi alat berhenti merokok, tetapi sudah disalah guna sebagai alat merekrut penagih baru.
Dengan realiti ancaman ‘vape’ ini, semakin banyak pihak mendesak kerajaan Malaysia agar mengambil pendekatan lebih tegas.
Ini kerana tanpa tindakan menyeluruh termasuk larangan nasional, Malaysia bakal menyaksikan generasi yang tumbang bukan semata-mata kerana dadah, malah kerana wap berperisa yang dibiarkan terus dijual seperti gula-gula.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg