Umno mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai sebahagian usaha penjenamaan semula parti itu menjadi ‘rumah besar Orang Melayu’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau ‘en bloc’ – langkah yang dilihat sebagai usaha Umno untuk mengembalikan ‘taringnya’ sebagai parti politik Melayu terbesar di Malaysia.
Datuk Ahmad Zahid berkata usaha itu selaras dengan peranan dan tanggungjawab Umno sebagai ‘Rumah Bangsa’, medan penyatuan orang Melayu.
“Sampai bila kita mahu bersengketa, sedangkan bangsa sedang terluka. Tatkala patah sayap bertongkatkan paruh, Umno mesti tampil sebagai peneraju.
“Jika perpecahan terus dibiarkan, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Maka Umno harus menjadi jambatan – menyambung ukhuwah yang retak, menyatukan suara yang berselerak.
“Tanggungjawab Umno hari ini jauh lebih besar kerana Umno adalah Rumah Bangsa, tempat untuk menyatukan kembali orang Melayu.
“Bukan dengan retorik amarah, bukan dengan dendam sejarah, tetapi dengan haluan yang jelas dan jiwa yang besar,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Umno (PAU) 2025, Kuala Lumpur, pada 16 Januari.
Pengumuman Datuk Ahmad Zahid disambut sorakan sokongan daripada lebih 6,000 perwakilan yang menghadiri PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula 14 hingga 17 Januari.
Menurut Datuk Ahmad Zahid, Umno adalah rumah asal politik Melayu dan daripada Umno lahirnya kemerdekaan, terbinanya Perlembagaan, Islam dimartabatkan sebagai tiang negara dan Raja-Raja Melayu didaulatkan.
Beliau menjelaskan, cubaan membina Gagasan Payung Besar Melayu tanpa Umno sebelum ini gagal kerana ia tidak berpaut pada Umno, rumah asalnya.
“Pintu rumah bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, dibesarkan, dan di sinilah kita mengadun erti perjuangan.
“Justeru, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Ummah Rumah Bangsa akan ditubuhkan. Ia bertujuan menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita, adik-beradik, dan ahli keluarga kita, menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak, sama ada secara individu atau ‘en bloc’, ke Rumah Bangsa ini,” tegasnya.
Kenyataan Datuk Ahmad Zahid ini menarik perhatian, khususnya ketika beberapa tokoh politik Umno yang pernah dipecat kini kembali mendekati parti, termasuk bekas Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang mencuri tumpuan dengan kehadirannya di PAU 2025 pada 15 Januari.
Datuk Ahmad Zahid juga menegaskan, sejarah Umno sebagai rumah bangsa Melayu tidak akan pernah terpadam.
“Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu – Parti Islam SeMalaysia (PAS); Semangat 46; Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang, Parti Warisan; Gabungan Rakyat Sabah, bahkan Gabungan Parti Sarawak,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno yang dipecat memilih menyertai parti lain antaranya mantan Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa yang kini bersama PAS, serta mantan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang kini menyertai Bersatu.
Beberapa pemimpin lain seperti Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Presiden Bersatu, juga lahir daripada Umno.
Sebagai langkah merealisasikan usaha itu, Datuk Ahmad Zahid mengumumkan Umno akan menganjurkan Musyawarah Nasional. Acara ini bertujuan membincangkan agenda politik Melayu dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, pakar, ahli akademik, dan golongan profesional Melayu.
Dalam masa yang sama, pentas PAU 2025 turut menjadi wadah Umno menyampaikan hasrat membela nasib mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden Umno yang kini dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak.
“Apabila menyebut nama Datuk Seri Najib, sokongan kita (Umno) tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah.
“Umno merafak sembah menjunjung kasih Yang diPertuan Agong (Sultan Ibrahim) agar ihsan terhadap Datuk Najib, bagi beroleh apa saja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan kepada kami semua,” katanya.
Untuk PAU 2025, sebanyak 104 Umno bahagian di seluruh Malaysia menghantar usul memohon pengampunan penuh terhadap Encik Najib untuk dibahaskan.
Usul berhubung pengampunan untuk Encik Najib adalah yang paling banyak diterima pada PAU kali ini, daripada keseluruhan 662 persidangan Umno bahagian pada 2025.
Sebelum ini, usaha Encik Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International, sebagai tahanan rumah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025.
Dalam ucapan sama, Datuk Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mempertahankan keputusan parti untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Anwar termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Kerajaan Perpaduan, ketika Pemuda Umno sebelum ini menggesa agar parti itu meninggalkan kerajaan, menyusuli beberapa pergeseran antara parti gabungan dalam kerajaan.
“No Anwar No DAP menjadi mantera untuk menggambarkan seolah-olah kita mencabuli keputusan yang dibuat di dalam PAU 2022. Sedangkan, keputusan No Anwar No DAP No Bersatu dibuat sebagai pendirian untuk bergerak solo pada PRU15 yang lalu,” katanya.
Datuk Ahmad Zahid berkata melihat kepada hakikat dan cabaran keberadaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan selama tiga tahun sejak 2022, parti itu tidak terlepas daripada berdepan realiti dan cabaran politik semasa, termasuk cabaran politik rentas gabungan kepartian.
Beliau menjelaskan Umno mesti bersedia menghadapi landskap politik di luar kebiasaan, termasuk gandingan berbeza di peringkat Persekutuan dan negeri menjelang PRU16.
Jelasnya lagi, pengalaman Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 baru-baru ini menyerlahkan kerumitan politik ini. Di sana, BN menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala Pakatan Harapan (PH), rakan BN di peringkat Persekutuan, sebaliknya bekerjasama dengan GRS.
“Landskap politik masa kini memaksa kita menerima hakikat bahawa tiada satu parti pun yang boleh memerintah bersendirian. Era dominasi mutlak satu-satu gabungan sudah berakhir. Dulu BN merupakan gabungan tunggal yang ditunjangi Umno mentadbir negara.
“Kini kerajaan terbina hasil kerjasama rentas gabungan melibatkan 17 parti gabungan. Ini merupakan satu realiti baru yang menuntut kita keluar daripada zon selesa politik lama,” katanya.
Datuk Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan untuk Umno melakukan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik, selaras perubahan rencam politik semasa.
“Ini menuntut kita untuk menilai semula bentuk kerjasama politik yang sesuai dengan situasi politik semasa, termasuklah untuk kita mengkaji semula bentuk gabungan politik BN yang telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baru agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg