Umno menegaskan bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukanlah satu pengkhianatan, sebaliknya amalan demokrasi matang yang wajar dihormati.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menjelaskan bahawa ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat MKT pada 10 Jun.

Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri Johor yang diterajui BN lahir daripada mandat PRN Johor 2022, jauh mendahului pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“BN Johor tidak melakukan kesalahan kerana kerajaan negeri ini ditubuhkan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan.

“Justeru, BN Johor bertekad meneruskan mandat dua pertiga yang diberikan oleh Bangsa Johor dalam pilihan raya lalu,” tegas beliau dalam kenyataan pada 11 Jun.

Beliau menegaskan bahawa tiada syarat dalam Kerajaan Perpaduan yang mewajibkan model kerjasama tersebut di peringkat negeri.

Keputusan bertanding secara solo merupakan amalan demokrasi yang wajar, bukan tindakan bermusuhan atau paksaan pihak luar.

Sementara itu, Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Encik Mohd Hafiz Ariffin, menangkis dakwaan bahawa pendirian BN Johor untuk tidak bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai penolakan terhadap sesuatu kaum.

Beliau menegaskan bahawa DAP adalah entiti politik, bukan perwakilan kaum tertentu.

“Tidak bekerjasama dengan parti politik bukan bermaksud menolak kaum. Kita tidak boleh membiarkan cubaan mengelirukan rakyat dengan mengheret sentimen perkauman setiap kali musim pilihan raya,” tegasnya.

Menurut beliau, rakyat Johor lebih mementingkan isu pekerjaan, kos sara hidup, peluang ekonomi, perumahan, pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan awam berbanding polemik politik yang tidak berfaedah.

“Pilihan raya bukan soal siapa yang hebat bermain sentimen atau mencetuskan ketakutan. Di Johor, rakyat menilai berdasarkan prestasi, hasil kerja, dan perancangan masa depan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selaku Setiausaha Agung Umno, melalui kenyataan rasmi pasca Mesyuarat MKT, mengulangi komitmen parti itu untuk tetap teguh menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga penghujung penggal pemerintahan.

Dalam masa yang sama, Umno menjelaskan bahawa hak menentukan strategi serta hala tuju politik adalah milik setiap parti, khususnya bagi mendepani cabaran pilihan raya termasuk PRN Johor serta Negeri Sembilan yang diramal menjelang tiba tidak lama lagi.

Pendirian tersebut turut memperincikan keterbukaan Umno terhadap sebarang jalinan kerjasama politik, dengan syarat ia berpaksikan nilai keikhlasan, kepercayaan mutlak, serta menjamin kestabilan negara dan kemakmuran hidup rakyat.