Topik diikuti
Pergi ke BHkuTokoh kewangan Islam M’sia didakwa pecah amanah RM10.55j
Tokoh kewangan Islam M’sia didakwa pecah amanah RM10.55j
Mohd Daud Bakar, rakan kongsi mengaku tidak bersalah atas 7 pertuduhan
Tokoh kewangan Islam M’sia didakwa pecah amanah RM10.55j
KUALA LUMPUR: Tokoh kewangan Islam Malaysia, Tan Sri Mohd Daud Bakar, dan rakan kongsinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Mei atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang berjumlah RM10.55 juta ($3.42 juta) milik beberapa individu dan sebuah koperasi.
Tan Sri Mohd Daud, 62 tahun, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), serta Datuk Norliza Tajudin, 54 tahun, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Pertuduhan pertama hingga ketujuh mendakwa kedua-dua tertuduh sebagai ejen iaitu pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd (kini Energy Eco Berhad), telah diamanahkan dengan wang berjumlah RM10.55 juta yang merupakan pelaburan daripada Encik Moideen Kunjayu dan mantan timbalan menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Dua entiti lain yang terlibat adalah Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn Bhd.
Pecahan dana yang dimaksudkan adalah RM400,000 dan RM200,000 milik Encik Moideen; RM500,000, RM900,000 dan RM550,000 (Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad); RM2 juta (Datuk Dr Mashitah); serta RM6 juta (Myad Kapital Sdn Bhd).
Mereka didakwa menyalahgunakan harta amanah itu secara tidak jujur, melanggar kontrak yang jelas, termasuk Perjanjian Pendahuluan Pemegang Saham bertarikh 22 Jun 2021 hingga 12 Mei 2024.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Maybank Islamic Berhad Cawangan Taman Setiawangsa dan RHB Islamic Bank Berhad Cawangan Bangsar Shopping Centre di Kuala Lumpur antara 22 Jun 2021 dengan 15 Mei 2024.
Kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, dengan sebat serta denda, sekiranya didapati bersalah.
Hakim Suzana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 19 Jun 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Dalam pertuduhan berasingan yang difailkan terdahulu (23 Februari), Tan Sri Mohd Daud turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Tan Sri Mohd Daud didakwa bertindak sebagai wakil Energy Eco Berhad dalam subahat ini, berlaku antara 14 Jun 2021 dengan 9 Ogos 2023 di sebuah pusat perniagaan di Rawang, Selangor.
Menurut pertuduhan, Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT milik Datuk Mahadi Badrul Zaman, yang juga suami kepada selebriti Nur Heliza Helmi.
Teras dakwaan ialah mereka mengurus niaga sekuriti dalam aktiviti terkawal, sedangkan AUF MBZ tidak memiliki lesen perkhidmatan pasaran modal yang sah.
