Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

The Kolong bangun semangat ‘kampung’ di bandar Larkin

Satukan usahawan kecil pelbagai kaum; warga S’pura suka suasana tenang, tidak sesak untuk nikmati pelbagai sajian selepas beli-belah
Dec 15, 2025 | 5:30 AM
The Kolong, Johor, warga Singapura
The Kolong berdiri sebagai gelanggang ekonomi kecil yang menawarkan sewa pada kadar berpatutan. - Foto FACEBOOK THE KOLONG

Dalam dunia cereka watak utama siri anime ‘Noruto’, Hashirama Senju dan Uchiha Madara, berpakat membangunkan Konohagakure, sebuah kampung yang tersembunyi tetapi sarat dengan kehidupan.

Di Larkin, jauh daripada dunia laga ninja, wujud percubaan nyata membina “kampung dalam bandar” dengan roh yang hampir serupa ruang kecil yang mahu memberikan perlindungan, peluang dan harapan kepada masyarakat.

Ruang itu dinamakan The Kolong.

Di celah bangunan tinggi dan lorong yang tidak kelihatan pada pandangan pertama, The Kolong, berdiri sebagai gelanggang ekonomi kecil yang menawarkan sewa harian serendah RM30 ($9.42) bagi barangan runcit dan RM50 bagi makanan.

Dengan caj pembersihan mingguan RM30, jumlah sewa secara keseluruhan masih kekal di bawah RM1,000 sebulan, angka yang semakin sukar diperoleh di bandar besar.

Pengasasnya, Encik Shirhan Saputra Bastian, 32 tahun, seorang tukang masak berpengalaman, dan isterinya, Cik Cheryl Choe Tze Chien @ Sheira Sabr Choe, 35 tahun, warga Singapura, membangunkan konsep itu bermula daripada sebuah kegagalan.

Pengasas The Kolong, Encik Shirhan Saputra Bastian, 32 tahun, (kiri) bersama isterinya, Cik Cheryl Choe Tze Chien @ Sheira Sabr Choe, 35 tahun, dan anak mereka, Mikael Adam Choe, lima bulan.  
Pengasas The Kolong, Encik Shirhan Saputra Bastian, 32 tahun, (kiri) bersama isterinya, Cik Cheryl Choe Tze Chien @ Sheira Sabr Choe, 35 tahun, dan anak mereka, Mikael Adam Choe, lima bulan.   - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Kafe kecil yang mereka urus pernah ditutup akibat kekurangan tenaga kerja dan kekangan kediaman.

Namun ruang kosong yang ditinggalkan membuka laluan kepada ilham baru iaitu menukar kawasan sepi menjadi “warung kecil berwajah acara” atau berpenampilan menarik dan nyaman.

“Matlamat kami adalah menyediakan ruang niaga yang teratur, bersih dan mesra keluarga, tetapi tetap mudah disertai. Sewa masuk rendah. Itu yang utama,” kata Encik Shirhan.

Meja, kerusi, pencahayaan dan pelbagai perhiasan diperoleh daripada barangan terpakai kafe lama serta sumbangan masyarakat.

Ada yang menaja lampu, ada yang menyumbang meja, ada yang membantu menyusun atur.

Persembahan seni sempena Hari Malaysia dan Merdeka pula diusahakan bersama mereka yang sudi memberi sokongan.

Ada meja dan lampu yang disumbangkan oleh masyarakat yang menyokong idea penubuhan The Kolong.
Ada meja dan lampu yang disumbangkan oleh masyarakat yang menyokong idea penubuhan The Kolong. - Foto FACEBOOK THE KOLONG

The Kolong juga menekankan keterangkuman. Makanan halal dijadikan asas, namun kehadiran pelanggan pelbagai kaum dialu-alu.

Bahan hebahan disediakan dalam pelbagai bahasa bagi merapatkan jurang dan mengundang lebih ramai pengunjung.

“Halal itu untuk semua. Rezeki pun elok dikongsi,” ujar Encik Shirhan.

Walaupun terletak di kawasan tersembunyi, pemilihan tapak itu disengajakan.

Walaupun terletak di bahagian belakang bangunan-bangunan lama, The Kolong masih mampu menarik kehadiran ramai pengunjung.
Walaupun terletak di bahagian belakang bangunan-bangunan lama, The Kolong masih mampu menarik kehadiran ramai pengunjung. - Foto FACEBOOK THE KOLONG

Pasangan itu mahu membangunkan sebuah ruang yang tidak sekadar menjadi tempat jual beli, bahkan mempunyai roh kampung, tempat orang berasa diterima, meskipun berada di tengah bandar.

Antara rancangan jangka panjang ialah sistem tadahan air hujan, pemasangan tenaga suria dan penyediaan ruang rehat mesra keluarga.

Jika semua itu menjadi, The Kolong mampu berdikari, dan operasi tidak tergendala ketika hujan, elektrik mencukupi, dan suasana lebih lestari.

Daripada 90 peniaga

Sejak dibuka pada Jun 2025, lebih 90 peniaga telah beroperasi di situ.

Ada yang tidak sabar menunggu pulangan lalu berundur, namun mereka yang kekal semakin meraih sokongan.

Kempen pemasaran berterusan dan kunjungan penggemar motosikal tempatan menghidupkan suasana.

Susun atur turut diperbaiki. Makanan ditempatkan di aras bawah bagi memastikan aliran pengunjung lancar, manakala barangan runcit di aras atas sebagai pelengkap.

Menjawab perbandingan dengan acara besar yang mengenakan sewa tinggi, Cik Sheira menegaskan kos mampu bayar menjadi nadi kelangsungan usahawan kecil.

Pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan ayam bakar, Encik Rusaidi Abd Rauf, 39 tahun, (kiri) dan Cik Sasti Jusman, 32 tahun, berkata The Kolong telah memberi mereka peluang untuk mengukuhkan perniagaan.
Pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan ayam bakar, Encik Rusaidi Abd Rauf, 39 tahun, (kiri) dan Cik Sasti Jusman, 32 tahun, berkata The Kolong telah memberi mereka peluang untuk mengukuhkan perniagaan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Sewa melambung tidak membantu sesiapa. Lebih baik peniaga bertahan lima tahun dengan kadar munasabah daripada buka sekejap lalu tutup,” katanya.

Beliau menambah ruang murah dan teratur membolehkan peniaga membuat tabungan, memberi upah wajar kepada pekerja dan meningkatkan mutu perkhidmatan; satu rantaian penting dalam ekosistem perniagaan kecil.

Selain menjadi ruang niaga, The Kolong, berkembang sebagai titik temu seni bandar.

Dindingnya dibuka kepada pelukis jalanan untuk menzahirkan karya secara sah, menjadikan kawasan itu semakin berseri.

Pada hujung minggu pula, pemuzik tempatan terdiri daripada pengurus sebuah syarikat di sektor minyak dan gas asli hingga ke kakitangan sebuah bank tampil menghidupkan suasana.

Pasangan suami isteri itu berharap agar The Kolong, yang dibina atas semangat masyarakat yang bersatu, akan tersenarai dalam kalender rasmi Tahun Melawat Johor 2026.

Pengunjung dihiburkan dengan persembahan pemuzik tempatan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Pengunjung dihiburkan dengan persembahan pemuzik tempatan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Pengunjung S’pura beri cadangan penambahbaikan

Antara pengunjung dari Singapura, ramai yang menganggap The Kolong sebagai ruang santai yang berpotensi besar tetapi memerlukan beberapa perubahan kecil.

Encik Rohaizzat Rozali, 24 tahun, dari Woodlands, berkata beliau sesat sewaktu berkunjung buat kali pertama.

Encik Rohaizzat Rozali, 24 tahun, dari Woodlands, Singapura, berharap pengusaha The Kolong dapat mengundang pempengaruh dari Kota Singa untuk mempromosikan ruang makan sambil bersantai yang menarik ini.
Encik Rohaizzat Rozali, 24 tahun, dari Woodlands, Singapura, berharap pengusaha The Kolong dapat mengundang pempengaruh dari Kota Singa untuk mempromosikan ruang makan sambil bersantai yang menarik ini. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Tempat ini betul-betul tersorok di belakang bangunan besar. Jika ada papan tanda besar dengan cahaya, lebih mudah orang luar mencari jalan masuk,” katanya.

Beliau turut mencadangkan promosi lebih agresif, termasuk melibatkan pempengaruh dari Singapura.

“Tempat ini memang sesuai untuk warga Singapura yang tidak mahu memandu jauh pada hujung minggu.

“Lepas membeli-belah di bandar mereka boleh singgah makan sebelum merentas semula Tambak,” katanya

Bagi Cik Zee Sham, 32 tahun, dari Yishun, suasana lapang dan tenang menjadi daya tarik utama untuk beliau datang bersama keluarganya.

Cik Zee Sham, 32 tahun, sukakan ketenangan dan suasana lapang The Kolong.
Cik Zee Sham, 32 tahun, sukakan ketenangan dan suasana lapang The Kolong. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Di tempat lain di Pasar Borong Pandan atau pusat membeli-belah, suasananya agak sesak. Tetapi di sini lebih lapang.

“Mana-mana warga Singapura yang mahukan kelainan, tempat ini memang sesuai sebab ia lebih santai.

“Cuma saya harap jika bahagian atas dipelbagaikan barangan, lebih ramai pasti datang,” katanya.

Suara peniaga: Teruja, komited, mahu diiktiraf

Dalam kalangan peniaga pula, wujud semangat mahu The Kolong dilihat sebagai sebahagian tarikan baru Johor Bahru sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Cik A. Malanidevi, 36 tahun, pemilik Southern India Gate, berkata panipuri ayam dan apam manisnya mendapat sambutan daripada semua kaum.

Beliau bangga menjadi satu-satunya peniaga makanan India di The Kolong.

Cik A. Malanidevi, 36 tahun, satu-satunya peniaga makanan India di The Kolong, menunjukkan ‘panipuri’, salah satu menu laris di gerainya.
Cik A. Malanidevi, 36 tahun, satu-satunya peniaga makanan India di The Kolong, menunjukkan ‘panipuri’, salah satu menu laris di gerainya. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Saya satu-satunya peniaga makanan India di sini, jadi sambutan datang daripada semua kaum,” katanya. Bahan yang digunakan halal, sekali gus menarik pelanggan Melayu yang ingin mencuba kelainan.

Encik Mohd Haffit Abd Rahim, 45 tahun, pula menambah kelainan dengan menjual peralatan perkhemahan, satu-satunya gerai seumpamanya di situ.

Harga berpatutan membuatkan sambutan sangat menggalakkan.

“Saya menawarkan tukul, pisau, khemah untuk lapan hingga 12 orang serta peralatan lain pada harga berpatutan; saya pilih jual barang perkhemahan kerana belum ada peniaga lain yang menawarkannya,” katanya.

Cik Sally Chua, 48 tahun, yang membuka gerai permainan bercahaya dan kraf tangan, berkata kebanyakan pelanggannya ialah kanak-kanak yang teruja setiap kali berkunjung.

Cik Sally Chua, 48 tahun, berkata ramai kanak-kanak teruja untuk membeli permainan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ yang dijualnya.
Cik Sally Chua, 48 tahun, berkata ramai kanak-kanak teruja untuk membeli permainan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’ yang dijualnya. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Ramai pelanggan saya anak-anak kecil kerana permainan ‘bercahaya’ ini memang menarik perhatian mereka,” katanya yang baru memulakan perniagaan pada Oktober 2025.

Pasangan peniaga sate dari Sabah, Cik Sasti Jusman, 32 tahun; dan suaminya Encik Rusaidi Abd Rauf, 39 tahun, pula meneruskan perniagaan keluarga turun-temurun sejak dua dekad lalu.

Mereka kini menjadi antara tumpuan pengunjung.

“Perniagaan ini sudah beroperasi selama 20 tahun sejak zaman ayah. Sejak The Kolong dibuka pada Mei, sambutannya konsisten,” katanya yang kini memiliki tiga cawangan gerai di sekitar Johor Bahru.

Dengan semangat gotong-royong, sewaan rendah, tatakelola ringkas dan sokongan masyarakat yang semakin teguh, The Kolong, menampilkan satu model perniagaan kecil yang berasaskan rasa memiliki bersama.

Ia membuktikan kampung bukan hanya wujud di desa, bahkan boleh tumbuh di bawah kolong bangunan, selagi ada tekad mempertemukan manusia dengan peluang.

Dan seperti Konohagakure yang bermula daripada pakatan membina harapan, The Kolong, juga membuka laman kecil untuk sesiapa yang ingin bermula semula. Setapak demi setapak, dari Larkin.

“Tempat ini betul-betul tersorok di belakang bangunan besar. Jika ada papan tanda besar dengan cahaya, lebih mudah orang luar mencari jalan masuk... Tempat ini memang sesuai untuk warga Singapura yang tidak mahu memandu jauh pada hujung minggu. Lepas membeli-belah di bandar mereka boleh singgah makan sebelum merentas semula Tambak.”
Encik Rohaizzat Rozali, 24 tahun, dari Woodlands.

“Sewa melambung tidak membantu sesiapa. Lebih baik peniaga bertahan lima tahun dengan kadar munasabah daripada buka sekejap lalu tutup.”
Cik Sheira Sabr Choe, pengasas bersama, The Kolong.

“Saya menawarkan tukul, pisau, khemah untuk lapan hingga 12 orang serta peralatan lain pada harga berpatutan; saya pilih jual barang perkhemahan kerana belum ada peniaga lain yang menawarkannya.”
Encik Mohd Haffit Abd Rahim, yang menjual peralatan perkhemahan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg