Topik diikuti
Pergi ke BHkuTertembak diri sendiri: Mantan Ketua Bersekutu Bersatu Johor selamat jalani pembedahan
Tertembak diri sendiri: Mantan Ketua Bersekutu Bersatu Johor selamat jalani pembedahan
Tertembak diri sendiri: Mantan Ketua Bersekutu Bersatu Johor selamat jalani pembedahan
JOHOR BAHRU: Mantan Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Tan Lek Khang, selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, pada malam 28 April dan kini dilaporkan berada dalam proses pemulihan.
Mantan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Datuk Tan masih belum boleh dilawati sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat kerana masih berada dalam fasa pemulihan.
“Buat masa ini, beliau dalam ‘recovery period’ (masa pemulihan). Jadi, kita tunggu sampai beliau sudah keluar (dewan bedah), masuk ICU (Unit Jagaan Rapi) baru boleh lawatan dibuat dan ketika itu baru kita tahu keadaan sebenar beliau.
“Pembedahan sudah selesai, baru lepas. Disebabkan beliau sahabat saya, saya akan tunggu dan melihat keadaannya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keadaan Datuk Tan.
Ahli Parlimen (AP) Larut itu tiba di HSI kira-kira 11.25 malam bersama beberapa pemimpin politik antaranya AP Machang, Encik Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; dan AP Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.
Datuk Hamzah meluangkan masa lebih sejam di hospital sebelum beredar selepas tidak dapat bertemu Datuk Tan yang ketika itu masih di dewan pembedahan, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Datuk Hamzah mengakui terkejut menerima berita mengenai kejadian yang menimpa Datuk Tan dan mahu mendapatkan laporan rasmi daripada pihak polis sebelum membuat sebarang andaian.
“Sudah tentulah saya terkejut. Sebagai seorang sahabat, saya melihat apa yang berlaku ini, kita sendiri tidak tahu sebab apa dan sebagainya.
“Jadi, saya kena tunggu dan saya juga mahu dapatkan laporan polis terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu, Datuk Tan dilaporkan parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri, dalam kejadian petang 28 April.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika beliau sedang mengadakan sesi latihan menembak di sebuah pusat latihan menembak di Kota Tinggi.
Pada 13 Februari, Datuk Tan mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta susulan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Datuk Tan menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, namun tewas kepada Barisan Nasional (BN).
