Topik diikuti
Pergi ke BHkuTekad mantan wartawan tebar konsep spa Arab ke KL
Tekad mantan wartawan tebar konsep spa Arab ke KL
Keputusan berdasarkan potensi pasaran tempatan kukuh, permintaan domestik
Tekad mantan wartawan tebar konsep spa Arab ke KL
Minat mendalam terhadap dunia kecantikan dan perniagaan mendorong pemilik Spa Jelita yang bermula di Singapura memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama untuk mengembangkan sayap perniagaannya ke luar negara.
Bermula dengan mengambil alih Spa Jelita di Guthrie Building, Singapura, pada Mei 2014 beberapa bulan selepas menutup lembaran kerjaya kewartawanan selama 27 tahun, Cik Fadilah Abdul Majid, melangkah ke dunia spa dengan keyakinan bahawa minat yang disertai perancangan rapi mampu diterjemahkan menjadi perniagaan yang mampan.
Cik Fadilah, lulusan ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi dengan Kepujian Kelas Dua Atas daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), pernah mengetuai Unit Ekoniaga (laporan ehwal perniagaan) di Berita Harian (BH) sebelum ini.
Spa Jelita Singapura pula telah dua dekad beroperasi dan menjadi antara yang terawal mengetengahkan konsep spa berinspirasikan suasana Arab dan Timur Tengah, menawarkan suasana eksklusif serta rawatan menyeluruh dari hujung rambut hingga hujung kaki khusus untuk pelanggan wanita.
Pada peringkat awal, Cik Fadilah merancang mengembangkan jenama tersebut dengan membuka lebih banyak cawangan di Singapura.
Namun, katanya, realiti operasi industri spa di Singapura menuntut pertimbangan lebih mendalam.
Menurutnya, kos sewaan yang tinggi, keperluan pematuhan pelesenan serta pensijilan tenaga kerja, selain sumber tenaga kerja tempatan terbatas, menjadikan proses pengembangan perniagaan perlu dirancang dengan lebih berhati-hati.
“Dalam industri spa di Singapura, struktur operasi dan keperluan pematuhan agak ketat.Â
“Pada masa sama, tenaga kerja tempatan juga terhad, terutama untuk kerja pada hujung minggu.
Faktor-faktor ini mempengaruhi perancangan jangka panjang,” kata wanita berusia 60 tahun ini kepada Berita Minggu (BM).
Industri spa di Singapura, jelas Cik Fadilah, banyak bergantung kepada tenaga kerja dari Malaysia, memandangkan permit kerja kebanyakannya dibuka kepada warga Malaysia.Â
Keadaan itu, menurut Presiden Kelab Wanita Ikon Singapura ini, secara tidak langsung mengehadkan pilihan sumber manusia, sekali gus menyukarkan peluasan operasi.
Selepas menilai pelbagai kemungkinan, termasuk cadangan membuka cawangan di Johor, ibu tiga anak itu akhirnya memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pengembangan luar negara pertamanya.Â
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan potensi pasaran tempatan yang besar serta keinginan membina perniagaan yang berasaskan permintaan domestik, berbanding risiko terlalu bergantung kepada pelanggan Singapura yang mungkin beralih kepada spa gantian lebih murah sekiranya Spa Jelita dibuka di Johor.
“Kami melakukan kajian menyeluruh sebelum memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama tapak pengembangan Spa Jelita di luar negara.Â
“Dalam kajian yang dijalankan, kami dapati Kuala Lumpur mempunyai pasaran yang luas.
“Berdasarkan tinjauan kami, spa berkonsepkan Arab, khususnya yang menumpukan kepada wanita Muslimah, tidak banyak di Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Berkongsi perjalanan pembukaan Spa Jelita Kuala Lumpur, Cik Fadilah yang juga merupakan mantan Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), berkata perniagaan diusahakan dengan rakan kongsi dari Malaysia, Datin Seri Wahinah Haroon Rasheed.
Ia mula beroperasi pada Disember 2025 di Pusat Korporat Melawati, selepas hampir enam bulan proses pencarian tapak yang sesuai.Â
“Kami mencari lokasi yang sesuai untuk perniagaan jangka panjang.
“Kawasan ini mudah dikunjungi, berhampiran pusat beli-belah dan tempat makan, serta mempunyai aliran pengunjung yang stabil,” katanya lagi.
Datin Wahinah yang menguruskan Spa Jelita Kuala Lumpur pula menambah selepas 20 tahun Spa Jelita mencipta nama sebagai simbol keanggunan dan kemewahan wanita Singapura, pembukaannya di Kuala Lumpur adalah lambang kemunculan legasi kecantikan Arab yang diinginkan wanita Malaysia.
“Sebenarnya, saya adalah pelanggan setia Spa Jelita setiap kali menziarahi saudara-mara di Singapura.
“Kerana teruja berkongsi amalan kecantikan wanita Arab dengan wanita Malaysia, akhirnya saya buat keputusan untuk bersama-sama Cik Fadilah membawa Spa Jelita ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Menurut Cik Fadilah lagi, antara keistimewaan Spa Jelita ialah konsep spa Arab yang lengkap dengan kemudahan hamam (rumah mandi), sauna dan rawatan skrub badan menggunakan bahan khas dari Timur Tengah.Â
Malah, kunjungan BM ke Spa Jelita Kuala Lumpur mendapati reka bentuk dalaman yang berinspirasikan seni bina Arab, menghadirkan suasana tenang, mewah dan eksklusif buat pelanggan.
Menurut Cik Fadilah, walaupun persaingan industri spa di Kuala Lumpur sengit, permintaan terhadap perkhidmatan rawatan kecantikan diri dalam kalangan wanita semakin kukuh.Â
“Dalam industri spa, pakej memainkan peranan penting untuk kelangsungan perniagaan.
“Justeru, kami menyediakan pakej-pakej menarik sebagai strategi pemasaran sesuai dengan kehendak pelanggan di Malaysia,” katanya.
Ketika ini, Spa Jelita Kuala Lumpur mempunyai lima ahli terapi terlatih dengan harga rawatan bermula daripada serendah RM139 ($44.90) bagi satu jam urutan badan, manakala rawatan pakej hamam ditawarkan pada harga RM199, selain pakej promosi bermusim.
“Antara pakej lain yang menarik ialah promosi Glam Raya yang menawarkan pakej rawatan dan kecantikan lengkap bermula serendah RM319 hingga RM699,” katanya yang baru-baru ini turut memulakan operasi dewan perkahwinan dan korporat, De Villa, di Singapura.
Ditanya cabaran dan pengalaman pembukaan Spa Jelita di Kuala Lumpur, Cik Fadilah, yang juga Presiden kelab wanita dikenali sebagai Ikon Women Singapore, berkata ia jauh berbeza dengan Spa Jelita di Singapura.
“Pembukaan Spa Jelita di Kuala Lumpur adalah pengalaman pertama saya membangunkan perniagaan bermula dari peringkat awal, berbeza dengan pengalaman di Singapura di mana saya mengambil alih spa yang sudah lengkap dan punyai pelanggan tetap selepas lapan tahun beroperasi.
“Pengalaman dan cabarannya berbeza, tetapi ia memberi banyak pembelajaran,” katanya lagi.
Cik Fadilah juga bersyukur kerana anak sulungnya, Cik Laila Mohd Rashid, 37 tahun, bukan sahaja menjadi kekuatannya dalam membangunkan Spa Jelita, malahan juga penyambung legasi perniagaan itu dan individu yang memahami nilai, disiplin serta perjuangan yang menjadi asas kepada jenama Spa Jelita.
Menurut beliau, anaknya itu kini merupakan salah seorang Pengarah Spa Jelita Malaysia dan memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Urusan Spa Jelita Singapura.
Bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Cik Fadilah berkata syarikatnya sedang menilai potensi pengembangan, sama ada melalui model francais atau pembukaan cawangan baharu secara kendiri, bergantung kepada prestasi operasi awal.
“Pasaran Malaysia sangat besar.
“Buat masa ini, keutamaan kami adalah menstabilkan operasi spa di Kuala Lumpur dan memahami pasaran dengan lebih mendalam sebelum melangkah ke fasa seterusnya,” katanya, yang teruja dengan penerokaan baharunya dalam dunia perniagaan.
