SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

SPRM tahan 16 dalang sindiket penipuan China, aset RM3.5j disita

SPRM tahan 16 dalang sindiket penipuan China, aset RM3.5j disita

Operasi sepadu menerusi ‘Op Dragon’ sasar rangkaian sindiket dipercayai berpangkalan di beberapa negara termasuk M’sia
Mar 10, 2026 | 3:34 PM

SPRM tahan 16 dalang sindiket penipuan China, aset RM3.5j disita

Antara individu dipercayai anggota sindiket penipuan antarabangsa warga China yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China.
Antara individu dipercayai anggota sindiket penipuan antarabangsa warga China yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China. - Foto SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa yang dikendalikan rakyat negara itu.

Operasi bersepadu terbabit yang dijalankan menerusi ‘Op Dragon’ menyasarkan rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia.

Sindiket terbabit dikenal pasti menjalankan kegiatan penipuan merentasi sempadan dengan menggunakan pelbagai wadah komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata melalui beberapa siri operasi yang dijalankan secara bersepadu, SPRM berjaya menahan 16 suspek utama yang juga ‘ringleader (ketua geng)’, yang bersembunyi di Malaysia.

“Semua suspek warga China sudah dihantar pulang bagi tujuan proses perbicaraan di negara berkenaan.

“Proses penghantaran pulang dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China serta Jabatan Imigresen Malaysia dengan semua prosedur perundangan dan diplomatik dipatuhi,” katanya, lapor Harian Metro.

Dalam operasi sama, SPRM turut menyita pelbagai aset yang dipercayai diperoleh hasil kegiatan haram dan mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah sindiket terbabit bernilai RM3.5 juta ($1.13 juta).

Antara barangan yang disita termasuk dua unit kereta mewah, barang kemas, jongkong emas, komputer peribadi, komputer riba, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta ratusan unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan sebagai alat utama dalam kegiatan itu.

Keseluruhan aset yang disita dianggar bernilai jutaan ringgit dan SPRM sedang menjalankan proses pelucutan aset terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sebelum dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia.

Operasi itu membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras jenayah kewangan dan kegiatan penipuan rentas sempadan yang boleh menjejas keselamatan ekonomi serta kepentingan negara.

SPRM menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan sistem kewangan, rasuah serta kegiatan penipuan akan terus dibanteras melalui tindakan penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan rakan di peringkat antarabangsa.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg