JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, menegaskan jika kerajaan negeri Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Negeri Sembilan juga akan dibubarkan esok.

Encik Loke, yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, berkata demikian susulan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bahawa BN akan bertanding solo di kesemua 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“Jika Johor bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Negeri Sembilan juga kita akan bubarkan esok. Memandangkan Johor mahu bertanding di semua 56 kerusi DUN, Negeri Sembilan juga kita lawan semua 36 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini pada 17 Mei.

Menurut Encik Loke, rakyat Johor perlu sedar kejayaan dan pembangunan yang dinikmati Johor ketika ini adalah hasil kerjasama dan usaha Kerajaan Perpaduan khususnya di peringkat pusat.

“Johor memang pesat membangun dalam tempoh tiga, empat tahun kebelakangan ini, tetapi faktanya ia melibatkan projek-projek pusat khususnya melibatkan pengangkutan seperti perkhidmatan Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link).

“Memang ia dimulakan kerajaan BN, tetapi sejak kita ambil alih pada 2022, banyak isu belum selesai dan hampir terbengkalai, tetapi komitmen kerajaan pusat dan menteri-menteri Pakatan Harapan menyaksikan projek itu hampir siap,” katanya di hadapan lebih 8,000 ahli parti komponen PH yang hadir.

Tambah beliau, projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) sebagai usaha penyuraian trafik di kawasan pusat bandar raya itu juga telah mendapat kelulusan Kabinet dengan peruntukan berjumlah RM10 bilion ($3.2 bilion).

“Ada pihak kata kerajaan pusat lambat, tetapi ini merupakan projek besar jadi perlu ambil sedikit masa. Ia projek bernilai RM10 bilion, bukannya RM10,000. Sementara tunggu siap kita ada sediakan bas henti-henti.

“Selain RTS Link, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari utara ke selatan yang sebelum ini terbengkalai sejak kira-kira 10 tahun lalu juga berjaya diselesaikan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lapor Kosmo!.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Johor sedar dan bijak membezakan antara fakta atau auta (temberang) melibatkan pelbagai projek pembangunan yang sedang berlaku di negeri ini khususnya menjelang PRN akan datang.

“Tiada projek di Johor yang dianaktirikan, walaupun banyak permohonan diterima (daripada kerajaan negeri), tetapi Perdana Menteri tidak pernah menolak.

“Jadi hari ini kita mesti yakinkan rakyat Johor bahawa kemajuan hari ini bukan hanya sebelah pihak, tetapi hasil kerjasama negeri dan pusat. Jangan lagi dakwa semua salah Perdana Menteri, semua salah DAP,” katanya.