Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat Merdeka: Belia Johor buru kebebasan kewangan demi masa depan
Harga barang, komitmen meningkat paksa golongan muda lebih kreatif cari rezeki dan urus perbelanjaan
Semangat Merdeka: Belia Johor buru kebebasan kewangan demi masa depan
Ketika Jalur Gemilang mula menghiasi jalan raya, bangunan dan premis perniagaan di Malaysia sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-69, bagi sebahagian belia di Johor, erti merdeka turut membawa satu persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Sejauh manakah mereka benar-benar bebas daripada tekanan kewangan.
Harga makanan, sewa rumah, pengangkutan, penjagaan anak dan kos menjalankan perniagaan yang semakin meningkat memaksa ramai golongan muda menyusun semula cara mereka berbelanja dan mencari rezeki.
Ada yang menambah sumber pendapatan, ada yang berani meninggalkan pekerjaan tetap untuk berniaga, manakala sebahagian lagi sanggup menempuh perjalanan merentasi Tambak setiap hari demi mendapatkan pendapatan lebih tinggi di Singapura.
Namun, di sebalik tekanan itu, mereka yang ditemui Berita Harian (BH) memilih untuk tidak mengalah.
Sebaliknya, cabaran kos sara hidup dijadikan dorongan untuk lebih berdisiplin mengurus kewangan, mencari peluang baru dan membina masa depan keluarga dengan usaha sendiri.
Pengasas syarikat makanan beku, LEPLoaded Popia Keju, Encik Ahmad Aliff Mashuri, 34 tahun, berkata peningkatan kos tidak semestinya berlaku mendadak tetapi kenaikan kecil yang berulang akhirnya dirasakan oleh peniaga dan pengguna.
“Kenaikan itu berlaku sedikit demi sedikit tetapi dengan kerap. Sebagai peniaga dan pengguna, kita merasainya dalam kededua kehidupan – kehidupan harian dan kos menjalankan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, menaikkan harga bukan satu-satunya jalan keluar kerana pelanggan juga sedang berhadapan tekanan yang sama.
“Sebagai peniaga, kita perlu kreatif. Kita boleh melihat semula pembekal, saiz hidangan, keuntungan dan pembaziran supaya semua kenaikan kos tidak dipindahkan terus kepada pelanggan,” katanya.
Perniagaannya turut menghasilkan makanan sejuk beku sebagai pilihan lebih menjimatkan kepada pelanggan yang mahu menyediakan makanan sendiri di rumah.
Bagi Encik Ahmad Aliff, semangat Kemerdekaan juga perlu diterjemahkan kepada perubahan pemikiran dalam kalangan generasi muda.
“Saya berharap anak bangsa Malaysia, tidak kira kaum atau agama, bersatu untuk kemajuan bersama.
“Usahawan dan belia perlu berkongsi idea dan bergerak bersama supaya produk tempatan boleh dibawa ke luar negara,” katanya.
Pengarah Sumber Manusia dan Kewangan, Haza Food Sdn Bhd, Cik Atikah Zulman, 34 tahun, pula berkata syarikat perlu menyerap sebahagian kenaikan kos tanpa terus membebankan pengguna.
“Kita ada kos gaji, kemudahan, sewa dan pembekal. Ada masanya harga pembekal naik, tetapi kami tidak terus mengenakan kos itu kepada pelanggan. Sebahagiannya diserap syarikat,” katanya.
Sebagai ibu kepada dua anak berusia enam dan tiga tahun, beliau menganggarkan sebuah keluarga memerlukan sekitar RM3,000 ($946) hingga RM3,500 sebulan bagi menampung keperluan asas termasuk makanan, penjagaan anak dan persekolahan.
“Saya bahagikan perbelanjaan mengikut keperluan. Makan memang wajib dan kegiatan bersama anak-anak juga penting, jadi kita kena seimbangkan perbelanjaan,” katanya.
Tinggalkan pekerjaan, kejar impian
Pengasas Neard Florist, Cik Nur Eliana Abdullah, 32 tahun, pula pernah bekerja sebagai teknisyen bioperubatan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, sebelum kembali ke Johor dan membangunkan perniagaan sendiri.
Beliau pada awalnya menjalankan perniagaan bunga secara sambilan bagi menambah pendapatan sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepadanya sejak Jun.
“Saya perlu fikir bagaimana hendak menggantikan pendapatan ketika bekerja di Singapura tanpa perlu berulang-alik setiap hari.
“Bila saya mula buat bunga secara sambilan, saya nampak perniagaan ini boleh berkembang,” katanya, yang kini menjalankan perniagaan secara dalam talian dari rumah.
Beliau memulakan perniagaan dengan modal yang rendah kerana pelanggan membuat bayaran terlebih dahulu sebelum bunga disediakan.
“Sekarang saya masih menjual kereta secara sambilan dan perniagaan bunga dijalankan sepenuh masa.
“Saya memang mahu membesarkan perniagaan ini dan menambah lebih ramai rakan niaga seperti pembuat kek,” katanya.
Pemilik jenama Sini Bergedil, Cik Azira Ujod, 37 tahun, pula mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan kerajaan selepas kira-kira 13 tahun demi memburu impian menjadi usahawan.
“Ramai kawan bertanya, ‘Betul ke hendak berhenti? Sekarang sudah selesa.’ Tetapi saya tidak melihat keadaan sekarang sahaja. Saya melihat apa yang saya mahu bina pada masa depan,” katanya.
Beliau bermula dari rumah sebelum mendapatkan tapak perniagaan di Bandar Bistari Perdana, Pasir Gudang dan kini menjual sehingga sekitar 30 pek bergedel dan tahu bergedel sehari.
“Kos memang meningkat tetapi kita tidak boleh mengurangkan bahan sehingga mutu jatuh.
“Kita harus terima keadaan, sesuaikan diri dan cari strategi supaya perniagaan terus berjalan,” katanya, sambil berkongsi pemasaran Sini Bergedil dikendalikan oleh suaminya melalui media sosial.
Kos kehidupan kian mencabar
Pengurus Besar, Der Cabin Bistro, Encik Mohammad Azwan Abd Hamid, 34 tahun, pula berpendapat kos kehidupan di Johor Bahru kini semakin mencabar, termasuk bagi individu bujang.
Menurutnya, sewa rumah sahaja boleh mencecah sekurang-kurangnya sekitar RM1,200, selain kos pengangkutan dan makanan.
“Bagi saya, untuk sekadar bertahan di Johor sekarang, sekurang-kurangnya perlu ada sekitar RM5,000. Kereta pun sudah menjadi satu keperluan di Johor, bukan lagi kehendak,” katanya.
Namun, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa bekerja di Singapura merupakan jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kewangan.
“Orang cakap senang, ‘Pergi Singapura sahaja.’ Tetapi proses berulang-alik itu bukan mudah. Ada masa yang dikorbankan dan ada soal keselamatan juga,” katanya.
Pemilik tapak makanan, The J, Encik Muhammad Hasraf Mohamed Ali, 27 tahun, pula memilih pendekatan mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan selain mendisiplinkan perbelanjaannya.
“Setiap bulan saya akan tetapkan jumlah yang boleh digunakan dan tidak akan lebih daripada itu. Saya juga pastikan ada simpanan kecemasan yang tidak disentuh,” katanya.
Beliau turut mengelakkan hutang berlebihan ketika mengembangkan perniagaan.
“Kalau ada RM10,000, jangan terus letakkan kesemuanya dalam satu perniagaan. Kita perlu ada simpanan sekiranya rancangan itu tidak menjadi. Ukur baju di badan sendiri,” katanya.
Salah sebuah restorannya di pusat bandar Johor Bahru menerima sehingga sekitar 50 peratus pelanggan dari Singapura.
Namun, beliau menegaskan peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga semata-mata kerana kuasa beli pelanggan Singapura lebih tinggi.
“Kalau kita jual dengan harga terlalu tinggi, sampai satu masa mereka akan fikir lebih baik membeli di Singapura sahaja. Kita perlu menjual mengikut pasaran kita dengan harga yang jujur,” katanya.
Kerja di seberang Tambak demi keluarga
Seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Midi, 30 tahun, pula memilih bekerja sebagai penghantar dengan syarikat makanan segera di Singapura bagi menyara keluarganya.
Menurutnya, pendapatan sekitar $3,000 memberinya ruang kewangan lebih besar berbanding pekerjaan sama di Malaysia yang menawarkan sekitar RM3,000 hingga RM4,000.
“Saya sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak. Seorang daripada mereka memerlukan persekolahan khas dengan kos RM848 sebulan.
“Kalau gaji kurang daripada RM4,000, selepas membayar bil rumah, kereta dan membeli barangan dapur, memang terasa terbeban,” katanya.
Walaupun perlu menempuh kesesakan di sempadan, beliau menganggap pengorbanan itu berbaloi.
“Memang penat berulang-alik, tetapi pendapatan yang diterima membantu menutup kepenatan itu dan mengurangkan tekanan kewangan keluarga,” katanya.
Bagi golongan muda ini, makna kemerdekaan bukan sekadar mengenang kebebasan negara yang dicapai 69 tahun lalu.
Ia juga perjuangan untuk membina kehidupan yang lebih bebas daripada beban kewangan – melalui keberanian mengambil risiko, disiplin mengurus wang dan kesanggupan mencari peluang baru apabila keadaan semakin mencabar.
“
“Kenaikan itu berlaku sedikit demi sedikit tetapi dengan kerap. Sebagai peniaga dan pengguna, kita merasainya dalam kededua kehidupan – kehidupan harian dan kos menjalankan perniagaan... Sebagai peniaga, kita perlu kreatif. Kita boleh melihat semula pembekal, saiz hidangan, keuntungan dan pembaziran supaya semua kenaikan kos tidak dipindahkan terus kepada pelanggan.”“
“Saya perlu fikir bagaimana hendak menggantikan pendapatan ketika bekerja di Singapura tanpa perlu berulang-alik setiap hari. Bila saya mula buat bunga secara sambilan, saya nampak perniagaan ini boleh berkembang... Sekarang saya masih menjual kereta secara sambilan dan perniagaan bunga dijalankan sepenuh masa.”