Pembangunan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands North, Singapura dijangka mengubah landskap pengangkutan awam.
Ia turut menyuntik nafas baru kepada pembangunan bandar raya Johor Bahru menerusi konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata projek RTS sepanjang kira-kira empat kilometer itu adalah pemangkin utama kepada pembangunan bersepadu di sekitar stesen. Ia sekali gus menarik minat pelabur dan pemaju hartanah untuk pembangunan pusat bandar Johor Bahru.
“Konsep TOD yang diterapkan di sekitar RTS Link akan memanfaatkan hab pengangkutan awam sebagai teras pembangunan bandar dengan menumpukan perumahan, peluang pekerjaan serta kemudahan perkhidmatan seperti ruang komersial dan runcit dalam jarak yang mudah diakses pengguna.
“Dengan kapasiti RTS sehingga 10,000 penumpang bagi setiap jam, pembangunan berasaskan TOD ini dijangka mengurangkan pergerakan keluar masuk penduduk dari kawasan berkenaan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 Januari.
Beliau menambah, pembangunan ini akan dilengkapkan dengan prasarana mesra pejalan kaki dan berbasikal serta integrasi penggunaan pengangkutan awam, demi menyokong pergerakan yang lebih cekap dan mampan di pusat bandar.
Encik Fazli memaklumkan pembangunan di sekitar stesen RTS Bukit Chagar merangkumi kira-kira 2,200 unit pangsapuri servis dan bilik hotel, 4,100 lot tempat letak kereta dan motosikal, selain lebih 570,000 kaki persegi ruang pusat beli-belah, kemudahan pendidikan serta kesihatan.
Beliau berkata keseluruhan pembangunan bernilai RM2.6 bilion ($822 juta) itu diusahakan melalui kerjasama Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) dan Sunway, dijangka memberi impak besar terhadap corak pergerakan serta aliran trafik di bandar raya Johor Bahru.
“Pembangunan bersepadu ini bukan sahaja menyediakan kemudahan moden kepada pengguna RTS, malah berpotensi membentuk wajah baru Johor Bahru sebagai bandar raya yang lebih terancang, cekap dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan RTS bersama pembangunan TOD di kawasan tengah bandar ini dapat menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan mutu hidup warga bandar serta menjadikan Johor Bahru lebih bersedia menghadapi peningkatan pergerakan rentas sempadan pada masa depan.
Dijadual siap menjelang akhir 2026, RTS Link akan mempunyai kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Setelah siap, ia akan mengurangkan kesesakan di kededua pusat pemeriksaan darat yang menyaksikan aliran trafik harian sekitar 300,000 orang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg