Topic followed successfully
Go to BHkuRM31j untuk 77 projek di Johor Bahru, kerajaan negeri percepat pelaksanaan
RM31j untuk 77 projek di Johor Bahru, kerajaan negeri percepat pelaksanaan
10 projek diberi keutamaan segera, 288 isu rakyat dibincang dalam Mesyuarat Tindakan Dun
RM31j untuk 77 projek di Johor Bahru, kerajaan negeri percepat pelaksanaan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM31.06 juta ($10 juta) bagi melaksanakan 77 projek pembangunan di seluruh Daerah Johor Bahru tahun 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata peruntukan itu melibatkan pelbagai kerja baik pulih dan naik taraf prasarana serta pembangunan kemudahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 April.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Johor Bahru.
Mesyuarat itu melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kempas, Perling, Kota Iskandar, Skudai, Permas, Johor Jaya, Tiram dan Puteri Wangsa di bawah pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan.
Datuk Mohd Jafni berkata daripada keseluruhan projek yang diluluskan, sebanyak 10 projek dikenal pasti untuk kelulusan segera dengan keutamaan diberikan kepada aspek bencana, sosial dan keselamatan.
Jelasnya, keutamaan tersebut mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap isu mendesak yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut mengarahkan semua agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa sebarang kelewatan.
“Kita tidak boleh berlengah apabila melibatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam mesyuarat sama, beliau berkata sebanyak 288 isu dan perkara berbangkit dibincangkan secara menyeluruh melibatkan pelbagai agensi.
Daripada jumlah itu, 79 isu berjaya diselesaikan manakala 92 lagi sedang dalam pelaksanaan, menunjukkan usaha berterusan kerajaan dalam menangani aduan rakyat.
“Platform MTD ini menjadi ruang penting untuk menyelaras tindakan antara Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan serta agensi teknikal supaya setiap isu dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan setiap projek yang dirancang bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat termasuk sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir, naik taraf jalan serta penambahbaikan kemudahan awam dan masyarakat.
Datuk Mohd Jafni berkata semua isu yang masih belum selesai akan terus dipantau rapi dengan setiap agensi diberikan tanggungjawab jelas bagi memastikan pelaksanaan di lapangan berjalan lancar.
“Setiap peruntukan ini adalah amanah untuk rakyat. Kita tidak boleh bertolak ansur dalam soal pelaksanaan dan tidak boleh bertangguh dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan setempat dapat memastikan semua perancangan direalisasikan dengan berkesan demi manfaat Bangsa Johor.

