Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Negeri Sembilan: MB sifatkan sasaran pelaburan RM30b dalam manifesto BN tercicir
PRN Negeri Sembilan: MB sifatkan sasaran pelaburan RM30b dalam manifesto BN tercicir
PRN Negeri Sembilan: MB sifatkan sasaran pelaburan RM30b dalam manifesto BN tercicir
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mempersoalkan kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa pembangunan negeri itu, selepas rekod pelaburan kerajaan negeri ketika ini jauh mengatasi sasaran dijanjikan BN dalam manifestonya.
Beliau berkata sasaran pelaburan RM30 bilion ($9.48 bilion) dalam tempoh lima tahun diumumkan BN perlu dinilai, berbanding pencapaian semasa kerajaan negeri yang berjaya merekodkan pelaburan lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat.
Katanya, Negeri Sembilan merekodkan pelaburan RM19.1 bilion pada 2025, selain tambahan RM13 bilion dalam tempoh separuh pertama 2026, lapor Berita Harian Malaysia.
“Dalam tempoh setahun setengah kita sudah dapat angka yang hampir sama dengan apa yang mereka janjikan untuk lima tahun. Bayangkan.
“Mereka nak ke belakang atau ke depan? Apa yang mereka rancang sebenarnya untuk anak cucu kita?,” katanya, ketika berucap pada program ramah mesra bersama masyarakat India di Pekan Air Kuning, Port Dickson, Negeri Sembilan, pada malam 26 Julai.
Datuk Aminuddin berkata rakyat perlu melihat kemampuan sesebuah kerajaan berdasarkan perancangan dan hasil yang telah dilaksanakan, bukannya hanya melalui tawaran dalam manifesto.
Beliau turut menyentuh kritikan terhadap usaha kerajaan negeri membangunkan sektor pelancongan termasuk mengangkat produk warisan Negeri Sembilan seperti makanan tradisi dan kawasan rekreasi.
Katanya, pembangunan kawasan seperti Kuala Pilah dan Jelebu dilakukan melalui pendekatan yang mengekalkan nilai tempatan, termasuk memperkenalkan ekopelancongan serta kawasan rekreasi tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Hari ini, kita angkat makanan Negeri Sembilan, masak lemak cili api. Kita perkenalkan kepada satu dunia bahawa makanan ini hebat.
“Di Jelebu, kita perkenalkan Hutan Simpan Kenaboi, kita bangunkan kawasan itu sebagai kawasan rekreasi. Hutan tidak perlu ditebang, hasil daripada hutan inilah yang menyumbang kepada hasil negeri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pihak lawan lebih memberi tumpuan kepada perebutan kuasa berbanding menawarkan rancangan pembangunan yang jelas kepada rakyat.
“Mereka hanya fikir perkara apa, saya tidak tahu. Mereka mahu kuasa saja pada hari ini,” katanya.
Pada malam 24 Julai lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, melancarkan manifesto BN bertema ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta’.
Di bawah teras Ekonomi dan Pembangunan, BN antara lain meletak sasaran menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan.