Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis tumpas sindiket judi dalam talian di JB, kaut untung hampir RM1j
Polis tumpas sindiket judi dalam talian di JB, kaut untung hampir RM1j
Imigresen Johor tahan 7 warga asing dalam serbuan di Puteri Harbour
Polis tumpas sindiket judi dalam talian di JB, kaut untung hampir RM1j
JOHOR BAHRU: Sindiket judi dalam talian yang didalangi warga asing dan mampu mengaut keuntungan hampir RM1 juta ($320,000) sebulan tumpas, hasil serbuan Ops Serkap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor, pada 29 April lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, pada 4 Mei berkata dalam serbuan di sebuah pangsapuri itu, pihaknya menahan lapan individu, iaitu dua lelaki warga China dan lima wanita warga Thailand berusia antara 33 dengan 38 tahun, serta seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia dua tahun.
Beliau berkata sindiket berkenaan yang didalangi seorang suspek lelaki warga China berusia 38 tahun, menyasarkan kaki judi dari Thailand dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dengan menggunakan Malaysia sebagai pusat operasi mereka.
“Modus operandi sindiket adalah semua pemain judi dari Thailand dan UAE itu akan menghubungi operator melalui telefon bagi melaksanakan transaksi kewangan menggunakan akaun bank di negara itu.
“Operator yang bekerja dalam sindiket ini akan memasukkan mata atau point ke dalam setiap akaun pemain judi dalam talian,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, Johor Bahru, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Rusdi berkata hasil siasatan mendapati sindiket perjudian itu telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan mampu meraih keuntungan kira-kira RM900,000 sebulan.
Turut dirampas dalam operasi itu ialah wang tunai berjumlah RM2,500, tujuh komputer, 34 telefon pintar pelbagai jenama serta sebuah mesin pencetak.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah melaksanakan sebanyak 458 operasi membabitkan sebanyak 1,452 tangkapan, meliputi pelbagai kesalahan Imigresen dalam tempoh tiga bulan pertama 2026.
Dalam perkembangan lain, Polis Kuala Lumpur menumpaskan sindiket penipuan Macau Scam, yang menyamar sebagai Polis Delhi, India, dan memperdaya warga negara itu di sana dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Cheras, Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata polis menahan 21 individu warga Taiwan, Pakistan, India dan seorang warga Malaysia, dalam serbuan pada 7 malam itu, hasil maklumat awam dan risikan pada 23 April lalu.
Beliau berkata sindiket itu mensasarkan mangsa di India dengan menyamar dan memakai seragam polis Delhi dengan menghubungi mangsa menerusi panggilan video, di samping menyatakan mereka dikesan terbabit dengan penyebaran kandungan berunsur hasutan terhadap kerajaan India di media sosial.
“Mangsa di India akan diarahkan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diarahkan, kononnya bagi tujuan siasatan serta mengelak dari dikenakan tindakan.
“Hasil pemeriksaan dalam serbuan itu menemukan pakaian seragam polis, selain 49 unit telefon bimbit dan dua komputer riba, membawa kepada nilai rampasan keseluruhan RM25,000,” katanya pada sidang media 5 Mei di Kuala Lumpur.
