Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis M’sia siasat akaun TikTok palsu guna AI sebar fitnah terhadap Agong
Polis M’sia siasat akaun TikTok palsu guna AI sebar fitnah terhadap Agong
Polis M’sia siasat akaun TikTok palsu guna AI sebar fitnah terhadap Agong
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), telah memulakan siasatan rasmi terhadap sebuah akaun TikTok palsu yang menyebarkan fitnah dan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu diambil menyusuli pengesanan kandungan oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor.
Siasatan merangkumi Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menggugat keamanan) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyalahgunaan rangkaian), seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani.
Datuk M Kumar menekankan pentingnya semua pihak berwaspada dalam hantaran di media sosial, terutama yang menyentuh isu sensitif 3R (agama, bangsa, dan institusi diraja).
Beliau memberi amaran JSJ tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, pada 21 Mei, menuntut tindakan tegas diambil.
Dalam hantaran rasmi Facebook, pejabat itu mendedahkan akaun palsu ‘Sultan Ibrahim Ismail’ menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk menyebar fitnah, termasuk dakwaan palsu Agong gemar memakan daging babi.
Perbuatan yang menyentuh sensitiviti ini – memandangkan Agong adalah Raja Melayu dan Ketua Negara beragama Islam – disifatkan sebagai penghinaan serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja, dengan harapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas.
“Sehubungan itu, Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor berharap SKMM mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat,” katanya.
Insiden penghinaan Agong di media sosial kian menjadi-jadi.
Kes terbaru melibatkan Mohd Hafiz Haron, 42 tahun, yang dihukum penjara tiga bulan dan denda RM5,000 ($1,612) oleh Mahkamah Sesyen Bangi pada 5 Mei lalu, selepas mengaku bersalah menghina Sultan Ibrahim di TikTok pada September 2025.
