Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis Kelantan tumpas sindiket ‘Love Scam’ sasar lelaki S’pura
Polis Kelantan tumpas sindiket ‘Love Scam’ sasar lelaki S’pura
Polis Kelantan tumpas sindiket ‘Love Scam’ sasar lelaki S’pura
TANAH MERAH (Kelantan): Satu sindiket penipuan dalam talian, dikenali sebagai Love Scam yang menyasarkan lelaki warga Singapura, tumpas dalam serbuan polis di sebuah resort di Tanah Merah, Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mendedahkan, pemeriksaan awal mendapati premis itu menjadi pusat operasi bagi kegiatan Love Scam yang dipercayai sudah berjalan kira-kira sebulan.
Beliau berkata, serbuan pada 22 April itu dilakukan hasil risikan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, dengan kerjasama pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, dan Machang.
“Kumpulan ini menyamar sebagai wanita untuk memancing mangsa lelaki warga Singapura.
“Modus operandi mereka adalah memperdaya emosi dan kepercayaan mangsa, sebelum menipu mereka demi keuntungan kewangan.
“Mereka menyewa resort berkenaan, menggunakan dewan dan bilik-bilik sebagai pusat operasi dan tempat penginapan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah, pada 23 April, seperti dilaporkan Harian Metro.
Datuk Mohd Yusoff menambah, siasatan mendapati sindiket itu dikendalikan oleh tiga penyelia bersama 55 operator yang bekerja setiap hari, dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
“Mereka menggunakan sekurang-kurangnya enam router (penghala) bagi memastikan capaian internet berkelajuan tinggi dan sukar dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.
Dalam serbuan itu, seramai 58 individu berusia antara 20 hingga 30-an tahun ditahan, terdiri daripada 53 lelaki dan lima wanita.
“Daripada jumlah itu, 49 lelaki adalah warga China, manakala selebihnya membabitkan seorang lelaki tempatan, serta masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, India, dan Pakistan.
“Manakala tangkapan wanita pula masing-masing seorang warga Malaysia, Myanmar, dan tiga lagi warga China.
“Daripada 56 warga asing yang ditahan, 33 memiliki dokumen perjalanan sah, manakala 25 lagi tidak mempunyai dokumen lengkap,” ujarnya.
