Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN tolak parti baru, sekat laluan pengikut mantan ketua pembangkang
PN tolak parti baru, sekat laluan pengikut mantan ketua pembangkang
Bersatu bimbang parti baru jadi ‘kubu’ buat penyokong pemimpin dipecat, dikhuatiri gugat kestabilan dalaman gabungan
PN tolak parti baru, sekat laluan pengikut mantan ketua pembangkang
KUALA LUMPUR: Hasrat pengikut dan penyokong mantan ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, untuk menyertai sebuah parti politik sedia ada dengan rancangan untuk kekal berada dalam Perikatan Nasional (PN) tidak kesampaian.
Ini selepas gabungan pembangkang itu memutuskan tidak menerima penyertaan parti baharu sebagai anggotanya buat masa ini.
Sumber yang dihubungi memaklumkan, pendirian itu diambil PN berikutan bantahan keras pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MTPN) pada 16 Mei.
Langkah menolak gabungan baharu itu diambil kerana bimbang ia bakal menjelma sebagai ‘rumah baharu’ atau kubu buat Datuk Hamzah dan para setianya, yang dikhuatiri mampu menggoncang kestabilan dalaman PN.
“Beberapa parti sebelum ini ada menyatakan hasrat menyertai PN, namun buat masa ini, permohonan mereka masih belum lagi diterima. Bersatu tidak mahu parti-parti ini dijadikan ‘rumah baharu’ kepada bekas pemimpin yang dipecat dan digantung.
“Pandangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan Pemuda (Armada) Bersatu (merujuk seorang lagi wakil Bersatu dalam MTPN yang juga Ketua Armada Bersatu, Encik Muhammad Hilman Idham) jelas dan tegas, tak akan beri ruang sama sekali kepada mereka untuk berada dalam PN,” kata sumber itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Namun sumber itu berkata, pemimpin Bersatu yang hadir dalam mesyuarat MTPN itu terbuka menerima penyertaan mana-mana parti politik menerusi pendekatan kerjasama pilihan raya atau electoral pact.
“Cuma hal berkaitan rundingan kerusi pilihan raya akan dibincang dan diputuskan secara bersama empat parti komponen PN nanti,” katanya.
“Kerjasama ini tak membabitkan keperluan memperuntukkan kerusi pilihan raya yang banyak. Ia bergantung kepada kesediaan parti gabungan (dalam PN) memberi laluan supaya kuota atau kerusi mereka diwakili oleh pihak lain (yang bekerjasama secara electoral pact),” katanya.
Mantan Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, turut mengakui bahawa keputusan ini merupakan tamparan hebat bagi kem Datuk Hamzah yang kini kian hilang arah dalam mencari perlindungan politik.
Terdahulu, parti seperti Pejuang, Berjasa, Iman, dan Putra dilaporkan telah mengetuk pintu PN dengan harapan dapat diterima menyertai gabungan besar pembangkang tersebut.
Kemasukan mereka dilihat sebagai talian hayat bagi Datuk Hamzah untuk mengekalkan pengaruh dalam PN serta memastikan kelangsungan bertanding di bawah panji gabungan itu dalam pilihan raya.
Namun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah mengunci rapat spekulasi itu dengan menegaskan bahawa tiada keahlian baharu akan dirasmikan buat masa sekarang.
