Perikatan Nasional (PN) bukan milik mana-mana parti secara mutlak dan sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan serta hala tuju gabungan itu tidak boleh dibuat secara sepihak, sebaliknya perlu merujuk kepada Perlembagaan PN.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan PN merupakan gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas, termasuk Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Dalam kenyataan media pada 11 Jun, beliau berkata PAS adalah antara parti pengasas PN dan beliau sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi kepada penubuhan gabungan berkenaan.

“PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak. PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti pengasas.

“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak.

“Ia hendaklah dirujuk kepada Perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya.

Datuk Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu, berkata keutamaan beliau ketika ini adalah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab, demi kepentingan rakyat serta negara.

Kenyataan itu hadir ketika gabungan pembangkang, yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, berdepan pelbagai spekulasi berhubung hala tuju serta kepimpinannya, selepas PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun.

Selain Bersatu, PN turut dianggotai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Tan Sri Muhyiddin, dalam kenyataan maklum balasnya pada 9 Jun, menyusuli keputusan PAS menamatkan kerjasama yang dijalin, menyatakan rasa dukacita terhadap keputusan itu.

Namun, mantan Perdana Menteri itu menegaskan Bersatu, sebagai parti pengasas, akan terus kekal dalam PN demi memperkukuh teras perjuangan gabungan itu.

Tan Sri Muhyiddin, sebelum ini, menerajui PN selama lima tahun sejak 2020, sebelum meletak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perletakan jawatan itu menyusuli desakan yang tercetus berikutan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan peralihan jawatan Menteri Besar dari PAS kepada Bersatu tanpa perbincangan dan persetujuan.

Jawatan Pengerusi PN kemudian diambil alih Datuk Dr Ahmad Samsuri sejak Februari lalu.