Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesawah Kelantan bimbang tidak dapat tanam padi dek kemarau
Pesawah Kelantan bimbang tidak dapat tanam padi dek kemarau
Isu padi kini babitkan dua faktor iaitu kos yang meningkat, bekalan air
Pesawah Kelantan bimbang tidak dapat tanam padi dek kemarau
KOTA BHARU: Lebih 50 peratus daripada 7,000 pesawah di Kelantan dijangka tidak dapat menanam padi pada musim pertama 2026 pada Jun ini berikutan masalah bekalan air kritikal menyusuli kemarau berpanjangan.
Mereka menyifatkan rumah pam Kemubu 4 yang mula beroperasi pada Februari lalu belum mampu untuk menangani keperluan bekalan air kepada pesawah, menyebabkan isu dihadapi berlarutan.
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak), Encik Zuha Ismail, berkata rata-rata pesawah mengakui tidak berani mengambil risiko memulakan penanaman sehingga berdepan kerugian selagi masalah air membelenggu.
“Isu padi kini babitkan dua faktor iaitu kos yang meningkat dan bekalan air. Jika kos meningkat tetapi bekalan air tiada masalah, pesawah tetap akan mengusahakan padi seperti biasa.
“Air faktor paling penting dalam penanaman padi dan sekiranya bekalan itu tidak dapat disalurkan, semestinya hasil padi akan merosot dan pesawah akan berdepan kerugian.
“Situasi kini bukan sahaja menyebabkan sawah merekah, sebaliknya tali air juga merekah menyusuli kemarau berpanjangan. Rumah pam Kemubu 4 pula melakukan penggiliran dalam menyalurkan air dan tidak mampu sampai kepada semua kawasan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Jelasnya, jika isu berkenaan berterusan sehingga Jun dan masih gagal ditangani, sudah tentu lebih ramai mengambil keputusan untuk tidak mengusahakan sawah.
“Pada masa sama, kita menyambut baik pendekatan Kerajaan Pusat yang meluluskan pembayaran pendahuluan insentif pembajakan RM200 ($64.60) bagi setiap hektar sawah sebagai langkah proaktif mengurangkan beban pesawah berikutan kenaikan kos diesel.
“Namun, jika mahu memastikan proses penanaman padi tidak terjejas, usaha bagi menyelesaikan masalah air juga perlu dilakukan seiring.
“Sudah banyak musim pesawah berdepan kerugian disebabkan masalah air dan sekiranya penanaman diteruskan pada Jun ini dan masalah air tidak selesai, bermakna kita akan berdepan kerugian lagi,” katanya.
Sementara itu, keadaan berbeza di Perlis, apabila nelayan darat sekitar Empangan Timah Tasoh di Padang Besar kini menarik nafas lega apabila paras air tasik beransur pulih, selepas hampir enam bulan bergelut cuaca panas melampau dan kemarau panjang.
Keadaan cuaca yang semakin pulih dan mula hujan membolehkan nelayan meraih tangkapan seperti ikan tilapia, lampam, ketutu, jelawat serta udang galah sehingga 60 kilogram berbanding hanya 10 kilogram ketika musim kemarau beberapa bulan lalu.
Nelayan, Encik Zakaria Yusuf, 68 tahun, berkata cuaca panas melampau sejak Disember 2025 lalu dianggap tempoh terburuk sepanjang hampir 40 tahun beliau keluar mencari rezeki di empangan berkenaan.
“Pernah berlaku saya terpaksa buang ikan yang sudah ditangkap pada Mei lalu kerana rosak akibat tiada pembeli... kerugian itu saya tanggung sendiri kerana sudah keluarkan belanja awal membeli minyak,” katanya.
Perkara sama dikongsi Encik Sabri Mohamad, 38 tahun, yang mengakui hasil tangkapan meningkat berbanding April yang merosot teruk.
