Seorang personaliti media didenda keseluruhan RM1,900 ($600), manakala tiga sekeluarga warga Singapura dikenakan jaminan berjumlah RM19,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan, pada 24 Disember.
Kesemua tertuduh iaitu P. Suresh, 46 tahun, Chua Chin Heng, 56 tahun, isterinya Loe Sou Peng, 55 tahun, serta anak mereka, Axl Chua Kai Jun, 27 tahun, dibicarakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Chua bersama isteri dan anaknya didakwa secara bersama-sama telah mendatangkan kecederaan kepada Suresh di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Serigala, Johor Bahru, pada 5.17 petang pada 21 Disember.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Encik Mu’adz Zulkarnain dan Encik Jagveer Singh.
Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan jaminan RM15,000.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, Suresh pula dituduh secara berasingan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Chua di lokasi dan tarikh yang sama.
Dia membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nor Deana Aqilah Aliman dan Cik Siti Aishah Latif. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap Suresh, yang juga dikenali sebagai Suresh Vanaz.
Selain itu, dalam pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret 3, Suresh dan Chua masing-masing didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di dalam kawasan Balai Polis Larkin, Johor Bahru, pada 6.15 petang pada hari kejadian.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.
Suresh mengaku bersalah dan didenda RM400, menjadikan jumlah keseluruhan denda yang dikenakan terhadapnya RM1,900.
Chua pula mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM4,000.
Terdahulu, peguam yang mewakili Suresh, Cik Mehnagha Luckhmana, memohon agar mahkamah mengenakan denda lebih rendah dengan alasan tertuduh masih menanggung adiknya yang merupakan orang kurang upaya.
Sebelum itu, polis menahan dua lelaki warga Singapura selepas terlibat dalam insiden gaduh dan kelakuan tidak senonoh yang bermula di sebuah pusat beli-belah sebelum berlarutan hingga ke Balai Polis Larkin, pada 21 Disember.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat, berkata kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira 5.20 petang di aras satu sebuah pasar raya di Johor Bahru, manakala kejadian kedua berlaku pada hari sama kira-kira 6.15 petang di kaunter aduan Balai Polis Larkin.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila berlaku pertikaian antara kedua-dua suspek berusia 46 dan 56 tahun di pusat beli-belah berkenaan.
Terdahulu, sebuah video tular menunjukkan pergaduhan di antara warga Singapura berkenaan di dalam sebuah pusat membeli belah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg