Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan tinggi terhadap logam nadir punca kecurian kenderaan meningkat di M’sia
Permintaan tinggi terhadap logam nadir punca kecurian kenderaan meningkat di M’sia
Permintaan tinggi terhadap logam nadir punca kecurian kenderaan meningkat di M’sia
PETALING JAYA: Kecurian pengubah bermangkin (catalytic converter) semakin meningkat di seluruh negara menyusuli permintaan tinggi terhadap logam nadir yang digunakan dalam sistem pelepasan kenderaan.
Pengubah bermangkin adalah satu komponen dalam ekzos kenderaan yang berfungsi menukar gas, asap berbahaya atau racun daripada enjin kepada pelepasan yang lebih selamat di udara.
Kebanyakan kes dilaporkan berlaku di kawasan perumahan, tempat letak kereta awam dan hab pengangkutan, dengan kenderaan yang ditinggalkan tanpa pengawasan, khususnya pada waktu malam, merupakan yang paling berisiko untuk kecurian.
Seorang pengurus kanan di pusat servis kenderaan, berkata pencuri menyasarkan pengubah bermangkin, iaitu komponen yang terletak di bawah kenderaan sepanjang sistem ekzos kerana ia mengandungi logam nadir yang mahal.
Komponen itu mengandungi sejumlah kecil platinum, paladium dan rodium, logam yang digunakan untuk mengurangkan pelepasan gas ekzos berbahaya.
“Walaupun jumlahnya kecil, hanya beberapa gram bagi setiap unit boleh mencecah harga tinggi. Rodium lebih mahal daripada emas, menjadikan pengubah pemangkin ini sasaran menarik,” katanya, lapor The Star.
Beliau menambah komponen itu boleh ditanggalkan dalam masa beberapa minit sahaja.
Pencuri biasanya menyelinap ke bawah kenderaan dan memotong komponen tersebut menggunakan alat pemotong mudah alih, katanya lagi.
Seorang peniaga alat ganti terpakai, Encik Kamaruddin Ayie, yang mengendalikan kedai di Gombak, Selangor, berkata pengubah bermangkin yang dicuri, lazimnya, dijual kepada pengendali besi buruk atau kitar semula, di mana logamnya boleh diekstrak.
Beliau berkata disebabkan nilainya yang tinggi, pengubah bermangkin terpakai juga semakin sukar diperoleh, sambil menambah unit yang dicuri biasanya dijual antara RM500 ($160) dengan RM1,500 setiap satu di pasaran gelap.
Menurutnya, komponen itu dijual kepada sindiket yang akan mengumpulkannya sebelum meleraikan unit tersebut untuk mendapatkan bahan nadir.
Bahan itu kemudian dijual kepada pembeli yang mengeksport semula logam berkenaan ke China.
“Antara tiga hingga tujuh gram paladium boleh dijual antara RM300 dengan RM1,200, manakala satu hingga dua gram rodium boleh mencecah RM1,400 hingga RM2,800.
“Satu hingga tiga gram platinum pula boleh dijual antara RM120 dengan RM500. Sehubungan itu, sebuah pengubah bermangkin yang dicuri boleh menghasilkan kira-kira RM1,000 secara purata, bergantung kepada saiz dan model kenderaan asalnya,” kata beliau.
Bagi pemilik kenderaan, kos penggantian boleh menjadi mahal dengan bermula sekitar RM800 untuk unit tiruan kelas rendah hingga antara RM5,000 dengan RM7,000 bagi alat ganti asal, bergantung pada model kenderaan.
Encik Kamaruddin berkata kenderaan lama menjadi sasaran utama kerana model terdahulu biasanya mengandungi kepekatan logam tersebut yang lebih tinggi.
Selain sistem pelepasan kenderaan, platinum, paladium dan rodium juga digunakan secara meluas dalam pemprosesan kimia dan elektronik.
Sebahagian besar bahan yang dicuri ini akan dimasukkan semula ke dalam rantaian bekalan sejagat, khususnya untuk industri elektronik, dengan China dikenal pasti sebagai pembeli utama bagi tujuan penapisan dan perkilangan.
Menurut Encik Kamaruddin, peningkatan kes kecurian pengubah bermangkin itu berkait rapat dengan pergerakan harga sejagat.
“Apabila harga logam ini meningkat, aktiviti kecurian juga cenderung meningkat,” katanya lagi.
