Berbaki beberapa hari menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos, manifesto yang diperkenalkan parti-parti politik utama menjadi antara usaha untuk memikat hati pengundi.

Pakatan Harapan (PH) menjadi gabungan pertama melancarkan manifestonya pada 20 Julai lalu, diikuti Barisan Nasional (BN) pada malam 24 Julai dan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 25 Julai.

Manifesto PH yang menggariskan 10 komitmen utama bertema, ‘Kekal Harapan’ dan ‘Negeri Sembilan Maju 2045’, antara lain memberi tumpuan kepada membuka lebih banyak peluang pelaburan, membangunkan industri berteknologi tinggi, mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bermutu, selain bertekad membina 20,000 unit rumah mampu milik.

Dalam usaha memastikan PH kekal mentadbir Negeri Sembilan, gabungan itu juga berikrar merealisasikan lima projek berimpak tinggi bersama Kerajaan Persekutuan, termasuk antaranya Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson; Landasan Bypass Senawang-Port Klang dan hab pengangkutan rel, Seremban Sentral.

BN yang bertanding sebagai seteru PH dalam PRN ini, walaupun gabungan itu bekerjasama di peringkat Persekutuan, menggariskan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama antaranya meliputi ekonomi dan pembangunan; taraf hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat; pendidikan, modal insan, keusahawanan, pertanian, serta pembangunan desa dan Felda.

Dengan tema ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta’, manifesto itu antara lain meletak sasaran menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan termasuk 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

Selain itu, BN yang pernah mentadbir Negeri Sembilan selama lebih 50 tahun juga menawarkan janji membina 25,000 unit rumah mampu milik, selain mewujudkan satu syarikat utama di setiap daerah.

Malah, di luar pentas pelancaran manifesto, Umno – komponen utama BN menerusi kenyataan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias – turut berikrar mencari penyelesaian terbaik terhadap pertikaian diraja yang berlarutan antara empat Undang (pembesar adat dan ketua daerah) di negeri itu dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara PN, yang pertama kali membentuk persefahaman dengan BN menerusi pembahagian kerusi dalam PRN Negeri Sembilan menggariskan 14 tawaran tambahan menerusi enam teras, sebagai sandaran gabungan itu.

Bertemakan ‘PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan’, enam teras itu merangkumi pentadbiran, belia dan ekonomi serta kebajikan, pendidikan dan pekerjaan.

Dengan tema ‘Kito Jago Nismilan’ (‘Kita Jaga Negeri Sembilan’), Bersatu pula melancarkan manifesto dengan sembilan tunjang merangkumi tadbir urus, ekonomi, pelancongan, pertanian, pendidikan, anak muda, wanita, Felda dan kesejahteraan rakyat.

Penganalisis ekonomi dari Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) merangkap Zamil Ekonomi dan Perniagaan The Future Research, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid.
Penganalisis ekonomi dari Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) merangkap Zamil Ekonomi dan Perniagaan The Future Research, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid. - Foto INCEIF

Penganalisis ekonomi dari Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) merangkap Zamil Ekonomi dan Perniagaan The Future Research, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid, berkata persaingan manifesto PRN Negeri Sembilan pada asasnya kini tertumpu kepada dua tawaran utama, iaitu PH dan gabungan BN-PN.

Beliau berkata kededua gabungan itu mengetengahkan pendekatan yang berbeza untuk menarik sokongan pengundi, dengan PH memberi penekanan kepada kesinambungan dasar dan pembangunan yang sedang dilaksanakan, manakala BN-PN menawarkan agenda perubahan.

“Manifesto PH lebih berteraskan kesinambungan kerana mereka berpendapat kerajaan negeri ketika ini berada di landasan yang betul dan dasar sedia ada perlu diteruskan.

“Sebaliknya, BN-PN cuba menawarkan sesuatu yang baharu, termasuk janji mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi serta menyelesaikan isu pertikaian membabitkan institusi Undang dan Yang di-Pertuan Besar.

“Dari sudut itu, manifesto PH boleh dianggap lebih realistik kerana ia dibina berasaskan dasar yang sedang dilaksanakan, manakala manifesto BN-PN pula lebih menarik kerana menawarkan perubahan dan idea baharu kepada pengundi.

“Pada pandangan saya, hanya kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada kandungan manifesto itu benar-benar praktikal, realistik dan boleh dilaksanakan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak. - Foto SHAHIDAH ABDUL RAZAK

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak, pula berpandangan hubungan baik antara Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan masih menjadi faktor yang mampu meningkatkan keyakinan pengundi terhadap sesebuah parti.

Menurutnya kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dari PH sebelum ini juga berjaya menarik beberapa projek berskala besar ke Negeri Sembilan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Namun, manifesto yang baik sahaja tidak mencukupi jika tidak disokong oleh sebuah kerajaan yang stabil untuk melaksanakannya,” katanya kepada BH.