KOTA BHARU: Seorang gadis yang menuntut di sebuah kolej di Kelantan ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di seluruh tubuhnya pada tengah malam 30 April, dengan empat individu telah ditahan reman pada 2 Mei untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Mayat Nurfisya Zulkifly, 19 tahun, penuntut Kolej Poly-Tech Mara yang berasal dari Perak, ditemui di tepi jalan dekat Kampung Simah, Ketereh, Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di seluruh tubuhnya, adalah disebabkan tikaman berganda pada bahagian dada.

Terdahulu, polis Kelantan mengesahkan menahan empat suspek yang terdiri daripada dua remaja lelaki berusia 19 tahun, lelaki warga emas berusia 66 tahun, selain seorang wanita warga emas berusia 60 tahun, lapor Harian Metro.

Mahkamah Majistret Kota Bharu kemudian membenarkan dua remaja terbabit ditahan reman tujuh hari sehingga 8 April, manakala dua lagi suspek warga emas direman tiga hari sehingga 4 April.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid, bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, abang mangsa, Encik Mohd Faris Zulkifly, 21 tahun, tidak dapat menyembunyikan kesedihan terhadap kejadian tragis menimpa adiknya yang baru dihantar pulang ke Kelantan untuk menyambung semester baharu pengajian.

“Sabtu (25 April) lalu kami hantar adik untuk menyambung semester baru, tapi hari ini kami terima berita yang sangat pilu,” katanya.

Menurut Mohd Faris keluarganya dihubungi polis pada 12.30 tengah hari 1 Mei, memaklumkan adiknya Nurfisya, meninggal dunia, tetapi tidak mendapat perincian lanjut.

“Tanpa berlengah, kami sekeluarga terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan pada 8 malam (1 Mei) kami tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Ketika dalam perjalanan ke Kelantan baru kami tahu menerusi laporan berita bahawa adik maut ditikam 61 kali, ibu bapa saya menangis tidak henti, (insiden) memang sangat mengejutkan,” katanya.