Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengerusi BN Sabah meninggal dunia selepas seminggu menang pilihan raya

Dec 5, 2025 | 12:16 PM
Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia, Datuk Seri Bung Moktar
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan), disahkan meninggal dunia akibat kegagalan ginjal pada awal pagi 5 Disember ketika menerima rawatan di hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah. - Foto SABAH MEDIA

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Ahli Parlimen (AP) Kinabatangan enam penggal, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada awal pagi 5 Disember.

Berita duka pemergian Allahyarham pada usia 66 tahun dikongsi oleh anak lelakinya, Encik Naim Kurniawan Moktar, menerusi hantaran di media sosial.

Allahyarham Datuk Bung Moktar, yang juga suami kepada pelakon Zizie Ezette, menghembuskan nafas terakhir pada 1.45 pagi, ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Pemergiannya turut meninggalkan seorang lagi isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimudin, bersama keseluruhan tujuh anak.

Allahyarham baru seminggu memenangi buat kali kedua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamang, Sabah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu, pada 29 November.

Difahamkan, beliau mengalami kegagalan ginjal dan dimasukkan ke hospital berkenaan sejak pagi 4 Disember.

Pada 4 Disember, Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin, dilaporkan mengesahkan Ketua Umno Sabah itu berada dalam keadaan tenat selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Terdahulu The Star melaporkan, pembantu Datuk Bung Moktar, sebagai berkata, Allahyarham mula jatuh sakit selepas menyerahkan borang pencalonannya untuk PRN Sabah pada 15 November dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta kerana jangkitan paru-paru.

Beliau dibenarkan keluar selepas beberapa hari dirawat dan walaupun dinasihatkan supaya berehat, Allahyarham terus menjalankan kempen Pilihan Raya bagi calon BN untuk PRN itu.

Malah, beliau turut mengikuti perkembangan keputusan malam Pilihan Raya dan bertemu dengan ahli parti dalam beberapa hari berikutnya walaupun tidak sihat.

Adik ipar Allahyarham, pelakon Shaheizy Sam, menyifatkan Datuk Bung Moktar, sebagai seorang individu yang sangat baik kepada masyarakat setempat dan keluarga.

Beliau berkongsi bahawa keadaan kesihatan Allahyarham merosot sejak kempen PRN Sabah, namun masih kuat bekerja bagi membantu kemenangan partinya.

“Menjadi kelaziman saya untuk membantu kempen abang ipar. Masa hari terakhir berkempen, beliau nampak tak ada tenaga dan penat, tidak seperti selalunya,” katanya lapor, Astro Awani.

Pemergian Allahyarham sebagai tokoh politik dan pemimpin berpengaruh yang banyak berjasa disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi masyarakat Sabah.

Ia malah meninggalkan kesan mendalam kepada rakan seperjuangannya, terutama dalam arena politik negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluahkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian sahabat karibnya itu.

Datuk Ahmad Zahid berkata pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai sahabat sejati, rakan seperjuangan yang sentiasa berdiri teguh di sisi dan insan yang setia menemani di setiap waktu susah dan senang, meninggalkan kekosongan besar dalam hidupnya. 

“Sukar untuk saya mencari kata-kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya di Facebook.

Datuk Ahmad Zahid turut merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, berserta doa mereka diberikan ketabahan, ketenangan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang amat berat ini.

“Kami di seluruh saf kepimpinan Umno, BN dan seluruh rakyat khususnya di Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh,” tulisnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenang Allahyarham Datuk Bung Moktar sebagai sahabat lama, tokoh yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan supaya mereka dikurniakan kekuatan menghadapi ujian kehilangan.

“Jasa serta komitmen beliau dalam arena politik, khususnya terhadap rakyat Sabah dan negara akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan.

“Semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya serta ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, insya-Allah,” tulis Datuk Anwar di Facebook.

Jenazah Allahyarham selamat disolat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu, pada 2.25 petang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg