Topic followed successfully
Go to BHkuPengasuh sebabkan kematian bayi 15 bulan dipenjara setahun
Pengasuh sebabkan kematian bayi 15 bulan dipenjara setahun
Pengasuh sebabkan kematian bayi 15 bulan dipenjara setahun
SEREMBAN (Negeri Sembilan): Pengasuh kepada ‘Baby Syifaa’ atau nama sebenarnya, Nour Rania Asyifaa, dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan. Hukuman ini dikenakan atas pertuduhan pengabaian yang membawa kepada kematian bayi itu pada 2022.
Hakim N Kanageswari menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41 tahun, pada hari terakhir perbicaraan kes yang menyayat hati ini, melibatkan bayi berusia 15 bulan di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM15,000 ($4,813) atau berdepan penjara empat bulan jika gagal, lapor Harian Metro.
Selain itu, tertuduh diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan setelah selesai menjalani hukuman penjara, serta mengikat bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran, dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Tertuduh diwakili peguam Cik S Kavittha, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron.
Turut hadir, ibu dan bapa ‘Baby Syifaa’ yang tabah, Cik Anida Idrus, 44 tahun, dan Encik Yuseri Yusoff, 42 tahun.
Mengikut pertuduhan, Khairunnisa, sebagai penjaga Nour Rania Asyifaa yang baru berusia 15 bulan, telah mengabaikan mangsa dengan cara yang berpotensi menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 12.30 tengah hari di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Media Malaysia pada 31 Julai 2024 melaporkan, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian ‘Baby Syifaa’, yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan itu, adalah akibat tekanan pada leher.
Seramai 28 saksi, termasuk ibu dan bapa ‘Baby Syifaa’, telah dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September 2022.
Baby Syifaa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Sendayan, pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, Encik Yuseri mendakwa anaknya dijerut, menolak dakwaan bahawa kematian itu disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

