Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengasuh ditahan susuli kematian bayi 8 bulan akibat pendarahan otak
Pengasuh ditahan susuli kematian bayi 8 bulan akibat pendarahan otak
Pengasuh ditahan susuli kematian bayi 8 bulan akibat pendarahan otak
ARAU (Perlis): Polis menjalankan siasatan terhadap seorang wanita yang juga pengasuh seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang meninggal dunia pada 22 April lalu, selepas dilaporkan mengalami pendarahan otak sejak 15 April lalu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata suspek berusia 35 tahun itu sudah ditahan pada 16 April lalu, namun dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.
Menurut kenyataan polis pada 28 April, suspek itu ditangkap pada 16 April, kira-kira 2.30 petang, sebaik laporan kejadian itu diterima. Suspek itu kemudian diberi jaminan polis pada tarikh tangkapan hingga 16 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Siasatan lanjut sedang dijalankan polis termasuk selepas menerima bukti baru daripada ibu bapa mangsa itu untuk tindakan lanjut diambil terhadap suspek tersebut.
Terdahulu, sepasang suami isteri menuntut keadilan selepas bayi perempuan mereka meninggal dunia pada 22 April, setelah dikatakan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, pada 15 April.
Ibu mangsa, Cik Aisyawati Isa, 34 tahun, berkata hingga kini, beliau dan suaminya, Encik Mohamad Zaer Wafar Che Mat Zaidin, 34 tahun, masih mencari jawapan mengenai kejadian yang menimpa anak kedua mereka itu, Aufa Zayyana.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.08 petang, 22 April ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Encik Ahmad Mohsin berkata bedah siasat oleh pakar Patologi Forensik HSB pada 23 April mendapati kecederaan mangsa itu adalah disebabkan trauma daya tumpul pada bahagian kepalanya.
“Kecederaan itu mengakibatkan terdapat pendarahan subdura (antara ruang dalam lapisan otak) dalam semua bahagian dura otak (lapisan selaput melindungi otak) terutama pada bahagian kiri.
“Penentuan umur pendarahan subdura tersebut akan ditentukan melalui ujian histopatologi yang dijangka mengambil masa beberapa minggu,” katanya.
Menurut Encik Ahmad Mohsin, siasatan mendapati mangsa tersebut dijaga pengasuh terbabit sejak 11 Februari lalu, dan sebelum kejadian kritikal itu, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada hidung serta dahi anaknya itu pada 7 April.
Pengasuh mendakwa mangsa terjatuh dan terkena rak televisyen selepas dipegang anak pengasuh yang berusia enam tahun, namun ibu mangsa tidak merujukkan anaknya ke klinik kerana bayinya itu masih kelihatan sihat dan aktif.
Keadaan bagaimanapun berubah pada 15 April lalu apabila pengasuh menghubungi ibu mangsa pada 5.16 petang untuk memaklumkan bayi tersebut lesu dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumahnya.
Polis kini masih meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
