Topic followed successfully
Go to BHkuPenemuan rangka bayi di laman rumah: 5 termasuk 4 sekeluarga disambung reman
Penemuan rangka bayi di laman rumah: 5 termasuk 4 sekeluarga disambung reman
Remaja 19 tahun dipercayai ibu mangsa antara yang ditahan
Penemuan rangka bayi di laman rumah: 5 termasuk 4 sekeluarga disambung reman
ALOR GAJAH: Tempoh reman lima individu, termasuk empat sekeluarga, disambung tiga hari lagi sehingga 1 April berhubung penemuan rangka bayi yang ditanam di hadapan sebuah rumah di Kelemak, Alor Gajah, Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan perintah lanjutan reman sehingga 1 April itu melibatkan kesemua suspek berusia 16 hingga 40 tahun.
“Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 30 Mac untuk arahan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Empat sekeluarga itu terdiri daripada remaja perempuan 19 tahun, dipercayai ibu bayi, ibu remaja itu, kakak, adik lelakinya, serta teman lelaki remaja tersebut,” katanya, lapor Harian Metro.
Terdahulu, pada 25 Mac lalu, media melaporkan penemuan rangka bayi, dipercayai lahir sekitar Disember 2025, tertanam di laman rumah di Kelemak itu.
Penemuan itu mengejutkan penduduk teres setingkat berkenaan, yang masih dalam suasana Syawal.
Susulan kejadian itu, wanita berusia 19 tahun dan teman lelakinya adalah antara lima individu yang ditahan bagi membantu siasatan penemuan rangka bayi di laman rumah terbabit.
Wanita itu dipercayai ibu kepada bayi yang kelahirannya dirahsiakan.
Dalam kes berasingan, pada 27 Mac, mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di kawasan pencawang telekomunikasi berhampiran Masjid Rembang Panas, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Timbalan Superintenden Shamrol Shah Ramli, berkata polis menerima panggilan telefon mengenai penemuan itu pada 6.30 petang.
“Pemeriksaan awal mendapati mayat itu adalah bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat. Pemeriksaan lanjut menganggarkan bayi itu meninggal dunia dua hari lalu dan mula reput.
“Pemeriksaan fizikal tidak menemui kesan kecederaan luaran. Identiti bayi serta punca kematian masih dalam siasatan,” katanya.

