JOHOR BAHRU: Warga Johor teruja menyambut kedatangan tahun baru, terutama apabila mereka akan mula menikmati cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tarikh 29 Disember 2024 adalah Ahad terakhir bekerja di Johor.
Tinjauan di sekitar Johor Bahru mendapati proses bekerja dan bersekolah berjalan seperti biasa dan rata-rata masyarakat meluahkan kesediaan menikmati cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari.
Ejen insurans, Encik S Reeshan, 33 tahun, berkata perubahan cuti hujung minggu akan meningkatkan aktiviti ekonomi kerana lebih ramai keluarga akan keluar bercuti.
Katanya sektor ekonomi pada cuti Sabtu Ahad dijangka meningkat, ditambah dengan kehadiran pengunjung dari negara jiran Singapura yang mempunyai waktu cuti hujung minggu sama.
“Bagi sektor kerajaan memang akan ada impak besar, contoh jika pasangan suami isteri, suami kerja kerajaan dan isteri bekerja swasta akan ada impak besar iaitu mereka akan meluangkan masa bersama keluarga sepenuhnya di hujung minggu.
“Cuma pastinya kesesakan jalan raya akan berlaku di bandar raya ini, apabila pengunjung Singapura datang pada hujung minggu. Kesesakan di kawasan sempadan dan lebuh raya perlu diberi perhatian,” katanya, lapor Harian Metro.
Peniaga, Cik Raendang Awang, 55 tahun, berharap perubahan itu memberi kesan positif walaupun perlu menyesuaikan diri.
“Dulu hari Jumaat pelanggan ramai sebab urusan kerajaan. Sekarang kena tunggu dan lihat kesannya dalam sebulan dua. Kami akur dan harap semuanya baik,” katanya.
Bagi peguam Encik Baharudin Bahrin, 40-an tahun, menyambut baik penyelarasan ini yang memudahkan pengurusan kes mahkamah.
“Apabila cuti selaras dengan negeri lain, urusan kerja lebih lancar. Masa untuk keluarga juga lebih banyak,” katanya.
Mulai Januari 2025, cuti hujung minggu di Johor ditetapkan pada Sabtu dan Ahad.
Perubahan cuti hujung minggu daripada Jumaat dan Sabtu diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pada 7 Oktober, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj).
Pada 2014, Johor telah mengubah cuti hujung minggu kepada hari Jumaat dan Sabtu.
Menyusuli perubahan itu, Kerajaan negeri Johor menetapkan pelanggan dan pemilik premis perniagaan lelaki yang beragama Islam di Johor diwajibkan untuk meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis ketika solat Jumaat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg