Topic followed successfully
Go to BHkuPenderaan seksual sedekad di rumah kanak-kanak Selangor terbongkar, 4 suspek ditahan
Penderaan seksual sedekad di rumah kanak-kanak Selangor terbongkar, 4 suspek ditahan
Penderaan seksual sedekad di rumah kanak-kanak Selangor terbongkar, 4 suspek ditahan
KUALA LUMPUR: Misteri penderaan seksual di sebuah rumah kanak-kanak tidak berdaftar di Selayang, Selangor, akhirnya terbongkar selepas hampir sedekad, membawa kepada penahanan empat individu termasuk pengendalinya.
Mangsa, kanak-kanak lelaki berusia sembilan hingga 17 tahun, kini menerima rawatan di Hospital Selayang.
Pemeriksaan perubatan mengesahkan kecederaan yang selaras dengan penderaan seksual, merangkumi trauma lama dan baharu.
Rumah itu dipercayai telah beroperasi sejak 2016, lapor New Straits Times.
Polis menahan empat suspek, termasuk pengendali berusia 31 tahun dan mereka direman sehingga 3 April bagi membantu siasatan. Seorang penghuni berusia 17 tahun turut ditahan.
Kes itu didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), Encik S Maran, yang berkata penderaan terbongkar selepas dua bekas penghuni yang baru mencecah usia 18 tahun tampil membuat pendedahan.
“Mereka memendam perkara ini bertahun-tahun. Apabila akhirnya bersuara, apa yang didedahkan amat mengejutkan dan menyedihkan.
“Ini bukan kes terpencil, sebaliknya penderaan berulang yang dipercayai berlaku dalam tempoh lama tanpa didedahkan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurutnya laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor, sebelum beliau bersama pasukannya mengunjungi premis itu, kononnya untuk menghadiri sambutan hari lahir pada malam yang sama.
Di sana, ahli pasukan berinteraksi dengan penghuni, dan beberapa mangsa mula membuka mulut, lalu mengenal pasti suspek.
Keadaan bertambah serius apabila bukti berkaitan kejadian itu ditemui dalam telefon bimbit milik suspek.
“Dengan pengakuan mangsa dan penemuan itu, tidak lagi timbul keraguan bahawa kes ini benar-benar berlaku,” katanya.
Sekurang-kurangnya 10 laporan polis telah dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan, bekas penghuni dan ibu bapa.
Menurut Encik Maran, hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan beberapa mangsa mengalami kecederaan yang dipercayai akibat penderaan berulang, termasuk yang berlaku baru-baru ini.
“Mangsa mengalami trauma dan takut untuk bersuara kerana diugut dengan hukuman jika mendedahkan kejadian,” katanya.
Seorang ibu tunggal yang ditemui melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui dua anak lelakinya, berusia sembilan dan 10 tahun, turut menjadi mangsa.
“Saya percaya tempat ini sejak lebih lapan tahun lalu. Saya datang melawat hampir setiap minggu, tetapi tidak pernah terfikir perkara seperti ini berlaku,” katanya sambil memaklumkan akan membawa pulang anaknya.
Siasatan turut membongkar kelemahan serius dalam pengurusan premis yang menempatkan 36 kanak-kanak – 23 lelaki dan 13 perempuan – termasuk kekurangan pengawasan dan pelanggaran piawaian asas penjagaan.
Semakan mendapati rumah itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya beroperasi di bawah syarikat swasta. Ini menimbulkan persoalan besar mengenai penguatkuasaan.
“Bagaimana premis seperti ini boleh beroperasi selama 10 tahun tanpa tindakan? Ini bukan sekadar kecuaian, tetapi kegagalan sistem,” kata Encik Maran.
Beliau menegaskan semua 36 kanak-kanak perlu diperiksa kerana dipercayai masih ada mangsa yang takut tampil.
Sementara itu, pihak berkuasa termasuk JKM dan pasukan forensik telah menyerbu premis berkenaan dan memulakan siasatan.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia, Siti Kamsiah Hassan, mengesahkan penahanan suspek.

