Dulu, kehidupan nelayan di Kampung Orang Asli (KOA) Sayong Pinang di Kota Tinggi, Johor, bermula dengan deruan enjin bot dan bunyi air sungai yang tenang.
Namun, sebulan selepas kejadian kolam cucian pasir pecah pada 31 Oktober, yang tinggal kini hanya sungai yang berubah wajah dan rezeki yang merudum.
Di jeti yang menjadi nadi kampung itu, beberapa bot kecil tersadai.
Ada nelayan yang sudah lama tidak keluar, ada pula yang baru pulang namun dengan hasil yang terlalu sedikit untuk dikongsi.
“Dulu kami boleh dapat RM300 ($94) sehari. Sekarang kadang-kadang RM30 pun susah, itu pun cukup untuk isi minyak bot sahaja,” luah nelayan, Encik Azman Inam, 47 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH) di jeti kampung berkenaan.
Beliau berkata kejadian pencemaran Sungai Sayong akibat kolam cucian pasir yang pecah masih menghantui penduduk walaupun kejadian itu sudah hampir sebulan berlalu.
“Kita ada bayar bil air dan elektrik, tetapi makan dan minum kami sehari-hari macam mana? Itu belum masuk perbelanjaan anak ke sekolah.
“Orang selalu anggap penduduk orang asli ini tiada pelajaran, tetapi kami juga manusia. Tolonglah ada rasa ihsan kepada kami,” luah Encik Azman.
Menurutnya, sejak air sungai dicemari lumpur, udang dan ikan, yang menjadi punca rezeki utama mereka, mati atau berkurangan dengan ketara.
“Sekarang kalau mahu ikan, kami terpaksa meredah sungai lain macam Sungai Linggiu dan Sungai Seluyut. Perjalanan ambil masa dua hingga tiga jam dengan enjin bot.
“Dulu kalau turun petang, dua tiga jam kita sudah balik rumah dengan hasil. Sekarang, keluar petang, esok pagi baru sampai rumah, hasil pun tidak seberapa,” keluhnya.
Kampung Orang Asli Sayong Pinang didiami hampir 300 penduduk dan merupakan antara penempatan awal orang asli di kawasan itu sejak sekitar 1950-an, sebelum Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) wujud di sekitarnya.
Felda merupakan agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan untuk menguruskan penempatan semula penduduk luar bandar ke kawasan pembangunan baru dan menganjurkan penanaman seperti kelapa sawit dan getah.
Tok Batin kampung, Encik Majid Jantan, 63 tahun, yang juga seorang nelayan sungai sejak kecil, masih mengingati jernihnya air Sungai Sayong suatu ketika dahulu.
“Dulu air sungai cantik, jernih. Budak-budak mandi, cari kerang remis. Sungai ini tempat kami ambil makanan, malah air minum pun dari sinilah sebelum saluran paip diperkenalkan sekitar 1980-an.
“Dulu kalau saya pasang 70 hingga 80 mata pancing, boleh dapat lima hingga enam kilogram ikan.
“Kini, dapat dua ekor ikan baung pun sudah kira bernasib baik,” kongsi Encik Majid.
Beliau berkata kehidupan nelayan darat di kampung itu kini benar-benar tertekan.
“Bantuan sekali beri memang kami hargai, tetapi nelayan sungai ini rezekinya hari-hari. Barang kedai semua sudah mahal. Kalau sungai terus begini, nelayan di sini habis harapan,” ujarnya.
Seorang lagi nelayan, Encik Mazuri Mat, 39 tahun, berkata mereka kesal kerana pengusaha lombong pasir seolah-olah tidak memikirkan keselamatan penduduk di hilir sungai.
“Tempat lombong itu memang kawasan banjir. Sebelum lombong wujud, kami cari ikan di situ setiap kali sungai melimpah.
“Sejak lombong pasir mula beroperasi dua tahun lepas, peluang itu sudah hilang.
“Pengadang yang jadi benteng air itu sekarang kita tengok dibuat makin tinggi, tetapi nampak tidak selamat.
“Apabila hujan lebat, kami bimbang ia pecah lagi. Pokok sawit yang ditebang dalam kawasan lombong pun boleh hanyut, bawa sekali lumpur,” kata Encik Mazuri.
Beliau menegaskan apa yang diminta oleh nelayan bukanlah sesuatu yang melampau.
“Bagi saya, syarikat lombong perlu datang berjumpa, duduk berbincang dengan kami. Sekurang-kurangnya tunjuk mereka bertanggungjawab.
“Ini sudah hampir sebulan, wakil pun tidak nampak. Itu yang buat kami terasa seolah-olah orang asli di sini tidak wujud pada pandangan mereka,” katanya.
Bagi Encik Aris Adong, 49 tahun, nelayan generasi ketiga dalam keluarganya, kesan pencemaran tersebut bukan sahaja dirasai di perut sendiri, malah pada rantaian rezeki orang lain.
“Dulu kami boleh cari RM200 hingga RM300 sehari. Sekarang kadang-kadang cukup-cukup untuk duit minyak sahaja. Kalau saya hendak pergi ke lokasi lain, kurang-kurang RM30 minyak pergi balik.
“Pedagang pun sudah mula mengeluh. Perniagaan mereka bergantung pada hasil kami. Bila kami tidak ada ikan, perniagaan mereka turut terjejas,” kongsi Encik Aris.
Beliau berkata ramai nelayan di kampung itu belum mempunyai kerja sampingan yang kukuh, lalu mereka terus bertahan di sungai meskipun hasil semakin berkurangan.
“Kami sudah buat laporan, hantar surat, minta penjelasan. Kalau tiada layanan, kami terpaksa fikir untuk mencari keadilan dengan cara lain. Sebab periuk nasi kami tertumpu kepada sungai ini,” tegasnya.
Di sebalik kesukaran nelayan Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Sungai Johor yang menerima aliran Sungai Sayong menjadi nadi kepada hampir 1.2 juta pengguna air di Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kejadian itu berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah akibat pergerakan tanah, menyebabkan paras kekeruhan air mentah meningkat mendadak kepada 37,400 unit kekeruhan nefelometrik (NTU), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Pejabat Tanah dan Galian Johor mengeluarkan arahan menghentikan kerja perlombongan serta-merta dan menggantung permit bahan batuan syarikat terbabit bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kerajaan Johor turut mengarahkan syarikat terlibat menanggung kos pemulihan dan kerja pembersihan serta akan mengenakan kompaun sewajarnya demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
“Pengadang yang pecah telah dibaiki dan siasatan masih berjalan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang, sama ada di lokasi sama atau di mana-mana tempat di Johor.
“Masyarakat orang asli yang terjejas juga telah menerima bantuan sekali daripada kerajaan negeri,” ujar Encik Mohamad Fazli.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, pula berkata anggaran 150 nelayan darat serta penduduk yang bergantung kepada penangkapan ikan terkesan secara langsung dengan kejadian itu.
Ketika meninjau Kampung Orang Asli Sayong Pinang pada 5 November, Datuk Zahari berkata kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan akan terus memantau kerja pemulihan dan perlindungan sungai.
“Penduduk orang asli mencadangkan supaya benih-benih ikan dan udang dilepaskan semula di dua lokasi sungai berhampiran untuk menambah bekalan dan memulihkan rantaian kehidupan sungai.
“Walaupun bulan November biasanya sudah masuk musim tengkujuh, kita bersetuju untuk melaksanakan dua peringkat pelepasan benih; peringkat pertama atas permintaan penduduk kampung pada hujung November, dan peringkat kedua pada Mac 2026 selepas monsun,” kata Datuk Zahari.
Ahli Dewan Negeri Panti, Encik Hahasrin Hashim, ketika dihubungi, mengakui pencemaran kali ini adalah yang paling teruk pernah berlaku di Sungai Sayong.
“Ini bukan kali pertama, ia sudah berulang. Perkara ini sudah beberapa kali saya bangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita faham kebimbangan penduduk kerana kawasan mereka memang kawasan banjir setiap kali musim tengkujuh,” ujarnya.
Ahli Parlimen (AP) Tenggara, Encik Manndzri Nasib, pula berkata aliran sungai kini dilaporkan telah pulih, namun rantaian kehidupan sungai dan rezeki nelayan darat masih belum kembali seperti dahulu.
“
“Sekarang kalau mahu ikan, kami terpaksa meredah sungai lain macam Sungai Linggiu dan Sungai Seluyut. Perjalanan ambil masa dua hingga tiga jam dengan enjin bot. Dulu kalau turun petang, dua tiga jam kita sudah balik rumah dengan hasil. Sekarang, keluar petang, esok pagi baru sampai rumah, hasil pun tidak seberapa.”“
“Walaupun bulan November biasanya sudah masuk musim tengkujuh, kita bersetuju untuk melaksanakan dua peringkat pelepasan benih; peringkat pertama atas permintaan penduduk kampung pada hujung November, dan peringkat kedua pada Mac 2026 selepas monsun.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg