TENOM (Sabah): Mahkamah Majistret Tenom di Sabah, pada 30 April, memerintahkan pendakwah popular Malaysia, Ebit Irawan Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, membela diri atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Majistret Nur Asyraf Zolhani, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit Lew, 41 tahun.

“Setelah meneliti dan menilai dengan penilaian positif kredibiliti dan kebolehpercayaan kesemua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan dan setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak serta di atas penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan pihak pendakwaan, mahkamah ini mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan ke atas tertuduh “ kata Majistret Nur Asyraf.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan 18 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes yang bermula pada September 2022, lapor Berita Harian Malaysia.

Ebit Lew didakwa melakukan kesemua kesalahan itu termasuk mengaibkan kehormatan wanita berusia 40-an tahun dengan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam perbicaraan kes itu sebelum ini, pengadu wanita dalam kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa beliau diminta oleh Ebit Lew, untuk memadam mesej di aplikasi WhatsApp antara mereka kerana terdapat laporan berkaitan gangguan seksual membabitkan pendakwah itu.

Wanita itu berkata Ebit Lew turut memberitahunya menerusi mesej WhatsApp pada 30 Julai 2021 bahawa telefon bimbit milikna akan dirampas oleh pihak polis.

Selain itu, seorang saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau mengambil masa selama tujuh hari untuk menganalisis lebih 30,000 gambar yang disimpan dalam sebuah pemacu pena.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia, Asisten Superitenden Yip Chang Ching, 45 tahun, berkata tempoh tersebut termasuk dua hari yang diperlukan untuk membuka data asal gambar dalam format raw yang diperoleh daripada sebuah telefon Ebit yang terlibat dalam kes tersebut.