KUALA LUMPUR: Seorang aktivis masyarakat Malaysia mendakwa kegiatan tailong (pemiutang haram) Singapura semakin berleluasa di Malaysia terutama di negeri selatan tanah air, dengan beberapa kejadian serangan ganas dilaporkan berlaku terhadap peminjam.

Encik Azman Kang Abdullah, mendakwa kegiatan tailong Singapura ini dikesan bermula beberapa tahun kebelakangan ini selepas warga Malaysia yang bekerja di Singapura meminjam daripada ceti haram untuk menyelesaikan masalah kewangan.

Beliau mengulas nasib empat sekeluarga yang kini hidup dalam ketakutan apabila kediaman mereka di Bukit Indah, Johor Bahru, menjadi sasaran bom petrol dua hari berturut-turut baru-baru ini, dipercayai angkara tailong dari Singapura.

“Isu tailong Singapura ini bukan isu baru. Orang kita yang membuka ruang untuk tailong Singapura bertindak ganas. Sebelum ini juga ada kes mereka bertindak ganas kepada peminjam warga tempatan.

“Mereka berani kerana identiti mereka sukar dikesan pihak berkuasa Malaysia dan tiada tindakan segera yang boleh diambil.

“Sebab itu, mereka boleh lakukan (ugutan) dan kemudian balik ke sana (Singapura) tanpa sebarang tindakan. Lama kelamaan, ada yang berani buka cawangan di sini dan bertindak sesuka hati,” kata Encik Azman, lapor Harian Metro.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perling (Johor), Encik Liew Chin Tong berkata insiden kebakaran melibatkan empat rumah itu dipercayai menjadi sasaran sindiket tailong pada 8 Mei lalu, sebelum kejadian sama berulang keesokan harinya.

Encik Liew yang juga Timbalan Menteri Kewangan Malaysia melawat mangsa pada 10 Mei berkata pihaknya tidak menolak kejadian itu didalangi sindiket tailong dari Singapura.

Mengulas lanjut Encik Azman berkata setakat ini pihaknya mendapati tailong Singapura bertindak sendirian dan tidak bersekongkol dengan sindiket ceti haram di Malaysia untuk memperdaya mangsa.

Katanya, tindakan penguatkuasaan bersama antara kedua-dua negara amat perlu memandangkan ia isu yang berlanjutan dan jumlah mangsa yang terbabit juga tinggi.

“Jika isu ini tidak ditangani, saya percaya lebih ramai akan menjadi mangsa terutama ketika kita berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini,” katanya.

Sebelum ini pada April 2025, Polis Diraja Malaysia pernah menahan tiga suspek yang diupah ceti haram dari Singapura, yang disyaki melakukan khianat dengan api dan menyimbah cat di rumah peminjam wang di Malaysia dengan upah sehingga RM1,500 ($485) daripada sindiket itu.

Ketua Polis Selangor ketika itu, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ketiga-tiga suspek termasuk sepasang suami isteri ditahan di kawasan rumah di Kepong dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dalam operasi khas pada 8 serta 9 April.

Beliau berkata tangkapan semua suspek berusia antara 20 dengan 22 tahun itu adalah menyusuli laporan seorang mangsa yang memaklumkan rumahnya di Ampang, Selangor, dibaling bom botol yang juga dikenali sebagai koktel Molotov, pada 20 Mac.