Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembinaan Jambatan Kota Tinggi berjalan lancar

Laluan empat lorong bakal kurangkan kesesakan dan pacu ekonomi daerah, lancarkan perjalanan ke Mersing, Pulau Tioman
Nov 25, 2025 | 1:28 PM
Kota Tinggi, Jambatan, Johor
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh (tengah), ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Kota Tinggi. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Pembinaan Jambatan Kota Tinggi (Jambatan Bypass FT003 Jalan Johor Bahru-Endau) kini mencapai kemuncak dengan pemasangan Struktur Rangka Keluli Gerbang (Steel Arch Bridge), satu kerja kejuruteraan berskala besar yang menuntut ketelitian dan kepakaran tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata satu kaedah skidding atau penolakan rangka jambatan sepanjang 400 meter itu ke kedudukan akhir merentasi Sungai Johor telah berjalan dengan amat lancar dan selesai tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata kejayaan kerja mengalihkan struktur seberat 1,700 tan dalam tempoh lapan jam itu membuktikan kecekapan pasukan Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi serta penggunaan teknologi yang tepat dalam memastikan ketepatan kedudukan jambatan sebelum ia dipasang sepenuhnya.

“Projek ini kini mencapai 80.70 peratus kemajuan fizikal, mendahului sedikit jadual perancangan, dan Insya-Allah akan mula digunakan menjelang Mac 2026, lebih awal daripada jangkaan asal pada April 2026,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Jambatan baru itu, dengan kos dianggarkan melebihi RM100 juta ($31 juta), dibina kira-kira 1.1 kilometer dari lokasi jambatan sedia ada sebelum struktur rangka dipindahkan ke atas sungai.

Ia menggantikan jambatan dua lorong kepada empat lorong, selain dibina pada aras lebih tinggi bagi memastikan bot dapat melalui Sungai Johor ketika air pasang.

Menurut Encik Mohamad Fazli, jambatan tersebut berfungsi sebagai penghubung strategik antara Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, sekali gus mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan sekitar.

“Ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi nadi perhubungan rakyat. Saya berharap kontraktor terus memastikan mutu dan keselamatan menjadi keutamaan sehingga projek siap sepenuhnya,” katanya.

Apabila siap sepenuhnya, jambatan ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan pengguna setiap hari yang bergantung kepada laluan ini untuk urusan harian serta perniagaan.

Jambatan ini juga akan menjadi laluan lebih lancar dan terus bagi warga Singapura yang menuju ke Mersing – terutamanya ke Jeti Mersing untuk menaiki feri ke Pulau Tioman – selain mereka yang menuju ke destinasi percutian selam skuba dan pulau-pulau pelancongan lain di sepanjang pantai timur Johor.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Sekolah Kebangsaan Bandar Putra 2, Kulai, sebuah projek bernilai RM35.6 juta yang siap sepenuhnya pada 12 September 2025.

Tambahnya, sekolah baru itu amat diperlukan bagi menampung pertambahan murid di kawasan Bandar Putra dan sekitarnya yang berkembang pesat sebagai kawasan perumahan dan perbandaran.

“Kerajaan Johor dan Persekutuan sentiasa komited menyediakan prasarana pendidikan kondusif demi memastikan anak-anak Bangsa Johor mendapat ruang pembelajaran terbaik. Semoga sekolah ini menjadi medan melahirkan pelajar cemerlang dunia dan akhirat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg