ISKANDAR PUTERI (Johor): Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura menuntut perhatian serius dan pelaksanaan pantas.

Turut disuarakan adalah gesaan agar sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai yang dijana Johor dikembalikan kepada negeri ini.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menekankan bahawa dua tuntutan itu penting bagi memastikan Johor bersiap siaga menghadapi pertambahan pergerakan rakyat serta mampu mengurus pembangunan negeri dengan lebih cekap.

Menurut beliau, sistem pengangkutan awam yang cekap, termasuk RTS Link, adalah kunci utama bagi mengurangkan kesesakan trafik dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Segala pertimbangan dan kelulusan yang diperlukan perlu dipercepatkan demi memastikan sistem pengangkutan awam Johor benar-benar mampu menyokong pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan Johor sebagai antara penyumbang utama hasil negara wajar diberikan pulangan yang lebih setimpal.

“Sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai yang dijana Johor, sekurang-kurangnya 25 peratus, dipulangkan semula kepada negeri.

“Ini penting agar Johor dapat mengurus keperluan rakyat tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses kelulusan yang panjang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar pada 30 April.

Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian ekonomi Johor yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Johor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion ($87 bilion), termasuk rekod RM110 bilion pada 2025, sekali gus membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang meningkatkan keyakinan pelabur dan merangsang ekonomi negeri.

Selain itu, hasil negeri turut meningkat kepada RM2.6 bilion pada 2025, mencerminkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan pengurusan kerajaan negeri.

Tunku Ismail juga memuji usaha kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan apabila seramai 4,612 ketua isi rumah berjaya keluar daripada kategori miskin pada 2025.

Namun, beliau menegaskan usaha itu perlu diperkasa dengan sasaran sifar kemiskinan melibatkan kira-kira 6,500 golongan miskin di negeri itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap pelaksanaan Bantuan Kasih Johor yang telah memberi manfaat kepada lebih 550,000 rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menyentuh sektor kesihatan, Tunku Ismail menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan Hospital Sultanah Aminah sebagai antara hospital terbaik dunia bagi 2026, namun mengingatkan supaya pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang disegerakan.

“Isu perjawatan dan kelengkapan perlu diselesaikan segera kerana sektor kesihatan tidak boleh ditangguhkan,” tambahnya.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau menekankan kepentingan pembangunan modal insan bermutu melalui pelbagai inisiatif termasuk Sekolah Rintis Bangsa Johor serta bantuan kepada pelajar dan mahasiswa.

Di samping itu, aspek perumahan turut disentuh apabila lebih 21,000 unit rumah mampu milik telah disiapkan sejak 2022, dengan sasaran 100,000 unit menjelang 2030.

Menurutnya, semua usaha itu mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Johor menikmati kehidupan yang lebih baik, stabil dan sejahtera.

Pada 2024, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan perlu memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di negeri itu untuk disalurkan kembali.

Pada 2025 pula, Tunku Ismail dilaporkan berkata agar 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor perlu dipulangkan semula kepada negeri itu bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan tanpa terlalu bergantung pada Kerajaan Persekutuan.