Pemuda Umno Johor menyifatkan Pakatan Harapan (PH) Johor mengamalkan sikap standard dwitara sekiranya terus membantah pelaksanaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan di Johor tetapi masih menerima sistem sama di negeri lain seperti Pahang dan Sabah.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata PH Johor hanya mempunyai moral politik sekiranya mereka terlebih dahulu mendesak Adun lantikan yang mewakili PH di negeri terbabit meletakkan jawatan.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian menunjukkan PH Johor mempunyai pendirian berbeza mengikut negeri.

“Kalau masih ada sikap standard dwitara dan pendirian berbeza-beza mengikut negeri seperti yang cuba dibuat PH di Johor, bermakna PH di Johor saling tak tumpah macam cakap tak serupa bikin,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Encik Noor Azleen berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bersama PH Johor yang membantah penambahan lima Adun lantikan di negeri Johor dan mencadangkan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah lebih sesuai.

Beliau berkata Pemuda Umno Johor tetap berpendirian bahawa pelaksanaan Adun lantikan mampu memperkukuh fungsi serta peranan legislatif DUN Johor.

Jelasnya, langkah itu juga boleh membantu memperkemas sistem demokrasi dan pentadbiran negeri.

“Cadangan pelaksanaan Adun lantikan seperti yang telah diluluskan melalui pindaan enakmen Rang Undang-Undang (RUU) dalam sidang DUN Johor baru-baru ini adalah antara kaedah untuk memantapkan lagi fungsi dan peranan legislatif DUN Johor,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Pemuda Umno Johor tidak menolak cadangan persempadanan semula kawasan DUN, namun berpandangan perkara itu memerlukan penelitian lebih menyeluruh dan perancangan jangka panjang.

Terdahulu, PH Johor menerusi kenyataan bersama dipimpin Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Encik Aminolhuda Hassan, menegaskan bahawa penambahan lima Adun lantikan bukan penyelesaian paling tepat dalam memperkukuh demokrasi dan perwakilan rakyat di Johor.

PH Johor sebaliknya mencadangkan kerajaan negeri bersama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengkaji pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya berikutan ketidakseimbangan jumlah pengundi di beberapa kawasan DUN.

Menurut PH Johor, terdapat jurang besar jumlah pengundi antara beberapa kawasan termasuk Kota Iskandar yang mempunyai lebih 131,000 pengundi berbanding Tenang dengan sekitar 23,000 pengundi sahaja.

Gabungan itu turut memaklumkan akan menggerakkan kempen kutipan tandatangan bantahan terhadap penambahan Adun lantikan secara fizikal dan dalam talian bagi membolehkan rakyat Johor menyatakan pendirian mereka.