SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan sama ada parti baharu yang diketuai mantan timbalannya yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin, boleh diterima menyertai gabungan itu.

Namun, beliau memberi isyarat bukan mudah PN mahu menerima parti baharu dan memerlukan penelitian rapi selain mengambil masa yang lama.

“Kalau dia (Datuk Hamzah) nak mohon masuk PN, itu hak dia. Tapi sama ada majlis tertinggi PN akan pertimbang dan luluskan itu soal lain.

“Ada asas dan prinsip yang kita kena guna pakai, macam sebelum ini, ada parti yang sudah lama berdaftar. Pejuang, Berjasa, mereka dah mohon, Putra pun dah mohon.

“Yang itu dah lama established (jalinan hubungan dan pendaftaran parti lama), tapi belum ada keputusan lagi dibuat kerana majlis tertinggi belum pertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Selangor di Shah Alam, Selangor, pada 26 April, lapor Malaysiakini.

Tan Sri Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi PN, berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Bersatu menerima penyertaan parti baharu pimpinan Datuk Hamzah.

Isu kemasukan parti baharu ke dalam PN kembali menjadi perhatian menyusuli pemecatan Datuk Hamzah daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Setakat ini, Ahli Parlimen Larut (Perak) itu masih berteka-teki mengenai langkah politik seterusnya.

Mantan ketua pembangkang itu baru-baru ini dilaporkan bakal mengumumkan penubuhan parti baharu pada Mei, dengan dakwaan keahlian mencecah ratusan ribu orang.

Datuk Hamzah berkata perincian lanjut belum dapat didedahkan kerana nama rasmi parti tersebut masih belum dimuktamadkan.

“Rumah baharu ini bakal mempunyai kekuatan besar dengan keahlian mencecah ratusan ribu orang.

“Buat masa ini, perbincangan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sedang giat dijalankan, bagi memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat, sekali gus mengelakkan isu teknikal atau perundangan pada masa hadapan,” kata Datuk Hamzah dalam laporan media sebelum ini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Muhyiddin berkata majlis tertinggi PN lazimnya menilai beberapa kriteria sebelum menerima mana-mana parti, termasuk tempoh pendaftaran sah, struktur pertubuhan serta kekuatan keahlian.

“Biasanya, kalau kita nak pertimbangkan majlis tertinggi akan ambil kira berapa lama dah berdaftar, ada majlis tertinggi, banyak cawangan ke tidak, ahli berapa ribu, ratus ribu ke, juta ke semua kita ambil kira,” kata mantan perdana menteri itu.

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Muhyiddin menegaskan Bersatu kini telah pulih daripada krisis dalaman yang menyaksikan beberapa pemimpin kanan dipecat dan digantung.

Beliau turut menolak dakwaan Bersatu semakin lemah, sebaliknya menegaskan langkah pantas kepimpinan berjaya menstabilkan keadaan.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan Tan Sri Muhyiddin berkata Bersatu tidak merancang menerima kembali ahlinya yang dipecat atau digantung setakat ini, sepertimana dilaksanakan Umno melalui gagasan Rumah Bangsa.

Menurut beliau, bekas pemimpin dan ahli terbabit baru sahaja dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti atas kesalahan yang dilakukan, berbeza dengan Umno yang membuka semula pintu kepada pemimpin yang sudah lama di luar parti.