Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuda dakwa BN belum kotakan janji reformasi di Johor
Muda dakwa BN belum kotakan janji reformasi di Johor
Ini termasuk enakmen anti lompat parti, persempadanan semula kawasan pilihan raya
Muda dakwa BN belum kotakan janji reformasi di Johor
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa beberapa komitmen reformasi institusi yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 masih belum dilaksanakan.
Ini termasuk berkaitan enakmen anti lompat parti, pengukuhan jawatankuasa khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Presidennya, Cik Amira Aisya Abd Aziz, berkata rakyat Johor perlu menilai semula janji reformasi yang pernah dibentangkan BN sebelum membuat keputusan pada PRN akan datang.
Menurut beliau, antara janji utama yang terkandung dalam manifesto berkenaan ialah pelaksanaan enakmen anti lompat parti di peringkat negeri.
“Apabila kita masuk ke Dewan Undangan Negeri, saya sendiri berbahas mengenai enakmen anti lompat parti. Namun apa yang berlaku, wakil BN berhujah mengapa enakmen itu tidak sepatutnya diwujudkan di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi minum petang bersama media di Setia Tropika di Johor Bahru pada 8 Jun.
Beliau turut mendakwa usaha memperkukuh peranan jawatankuasa khas DUN yang dijanjikan sebelum ini juga tidak mencapai sasaran seperti diharapkan.
Jelasnya, sehingga kini hanya satu jawatankuasa khas baru ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perubahan Iklim, manakala cadangan serta syor yang dibentangkan tidak diteruskan secara menyeluruh dalam sidang DUN.
Selain itu, isu persempadanan semula kawasan pilihan raya juga dilihat terus terabai. Cik Amira Aisya menekankan bahawa ketidakseimbangan ketara jumlah pengundi, seperti jurang antara DUN Puteri Wangsa (120,000 pengundi) dan DUN Tenang (18,000 pengundi), secara langsung menjejas kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
“Persempadanan seperti ini bukan merugikan ahli politik, tetapi merugikan rakyat kerana wakil rakyat perlu menguruskan jumlah pengundi yang jauh lebih besar tanpa tambahan sumber,” katanya.
Menyentuh persiapan PRN Johor, beliau mengesahkan Muda bakal bertanding menggunakan logo sendiri dengan tawaran dasar yang lebih ampuh
Perincian mengenai jumlah calon akan dimuktamadkan selepas mesyuarat Biro Politik di Muar kelak, dengan jangkaan Muda akan melebarkan sayapnya ke lebih banyak kawasan berbanding pilihan raya sebelum ini.
Cik Amira Aisya berkata Muda akan terus memperjuangkan penyertaan golongan muda dalam politik secara bermakna dan bukan sekadar dijadikan pelengkap kempen pilihan raya.
Menurut beliau, parti itu berpegang kepada prinsip bahawa anak muda perlu diberikan ruang untuk memimpin, membuat keputusan dan menyumbang kepada pembentukan dasar awam.
“Kita tidak akan jadikan orang muda sebagai kerosakan sampingan dalam politik. Kita juga tidak akan jadikan orang muda sekadar sebagai pemacak bendera dan pengedar risalah kempen semata-mata,” katanya.
Beliau berkata calon-calon yang bakal diketengahkan Muda pada PRN Johor nanti bukan dipilih berdasarkan umur semata-mata, sebaliknya berdasarkan kemampuan untuk berkhidmat, membawa dasar yang baik serta memperjuangkan politik berteraskan nilai dan khidmat kepada rakyat.
