SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

M’sia teliti perjanjian 2 hala kawal penghijrahan petugas kesihatan

M’sia teliti perjanjian 2 hala kawal penghijrahan petugas kesihatan

Perjanjian termasuk dengan Singapura, Arab Saudi dan Australia
Mar 30, 2026 | 2:49 PM

M’sia teliti perjanjian 2 hala kawal penghijrahan petugas kesihatan

Malaysia, Singapore, two-way agreement, perjanjian dua hala, Kementerian Kesihatan, Ministry of Health, KKM, petugas kesihatan, Saudi Arabia, Australia
Tawaran gaji lebih menarik di Singapura tarik minat petugas kesihatan Malaysia untuk berkhidmat. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti pelaksanaan perjanjian dua hala dengan beberapa negara destinasi utama petugas kesihatan Malaysia, termasuk Arab Saudi, Singapura dan Australia.

Langkah itu bertujuan mengawal selia penghijrahan petugas kesihatan secara lebih berkesan selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi Kod Amalan Global Pengambilan Antarabangsa Petugas Kesihatan.

Menurut KKM, kod etika berkenaan menyediakan panduan kepada negara anggota dalam mengurus pengambilan tenaga kerja kesihatan antara negara secara lebih beretika.

Selain itu, KKM yakin langkah itu dapat meminimum kesan terhadap negara sumber, khususnya negara membangun.

“Kod etika ini memberi panduan kepada negara anggota dalam menguruskan pengambilan petugas kesihatan antara negara supaya pelaksanaannya lebih beretika, meminimum kesan kepada negara sumber yang biasanya terdiri daripada negara membangun, selain memelihara kebajikan petugas kesihatan yang berhijrah,” kata kementerian itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sebelum ini, BHM melaporkan sektor penjagaan kesihatan awam di Malaysia kini disifatkan sedang berdepan krisis tenaga kerja yang kritikal berikutan penolakan besar-besaran penempatan oleh doktor pelatih.

Menurut nota penyelidikan MBSB Research, daripada 5,000 slot penempatan untuk menjalani latihan, atau housemanship, yang ditawarkan KKM pada Januari 2026 bagi mengatasi lambakan graduan, hanya 529 individu atau kira-kira 10.5 peratus melaporkan diri.

Keadaan itu mencerminkan ketirisan bakat yang semakin serius, terutama apabila negara jiran, Singapura, mengubah strategi dalam menarik tenaga pakar perubatan dari Malaysia.

Turut didedahkan terdapat ejen perekrutan dari Singapura yang kini menyasar pelajar perubatan tahun akhir secara langsung, tanpa menunggu mereka memperoleh pengalaman kerja terlebih dahulu.

Antara institusi yang menjadi sasaran termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Daripada segi imbuhan, tawaran yang diberikan Singapura jauh lebih kompetitif, dengan gaji permulaan mencecah $110,000 (RM385,000) setahun, iaitu lima hingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding tawaran permulaan oleh KKM.

Selain itu, Singapura menawarkan status pekerjaan tetap serta manfaat pencen, berbanding sistem di Malaysia yang masih bergantung kepada lantikan kontrak tanpa jaminan kerjaya jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM turut melaksanakan reformasi struktur bagi menangani cabaran sumber manusia sektor kesihatan secara menyeluruh dan berjangka panjang.

Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan penamatan sistem doktor kontrak secara bertahap bagi pegawai perubatan, dengan sasaran menyediakan jaminan kerjaya lebih mampan, tertakluk kepada keupayaan fiskal negara.

Selain itu, KKM juga akan memperkenal mandat mobiliti dan agihan semula bagi memastikan penempatan pegawai dilakukan secara strategik, khususnya di negeri atau kemudahan kesihatan yang berdepan beban kerja tinggi.

“KKM komited dalam memastikan kualiti program latihan siswazah bagi Pegawai Perubatan Siswazah terus terpelihara dengan menumpukan kepada pencapaian objektif pembelajaran bagi melahirkan pegawai yang kompeten dan selamat.

“Pada masa sama, usaha memperkasa kebajikan petugas kesihatan terus dipergiat, termasuk penambahbaikan struktur insentif kewangan serta kemudahan bagi mereka yang bertugas di kawasan pedalaman atau berisiko tinggi.

“Langkah itu merangkumi kajian semula kadar elaun supaya kekal kompetitif, di samping komitmen berterusan menaik taraf kemudahan perumahan dan persekitaran kerja, demi meningkatkan keselesaan serta motivasi petugas kesihatan,” katanya.

“Kod etika ini memberi panduan kepada negara anggota dalam menguruskan pengambilan petugas kesihatan antara negara supaya pelaksanaannya lebih beretika, meminimum kesan kepada negara sumber yang biasanya terdiri daripada negara membangun, selain memelihara kebajikan petugas kesihatan yang berhijrah.” 
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg