MB Kedah dakwa peralihan kerajaan M’sia tidak lama lagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MB Kedah dakwa peralihan kerajaan M’sia tidak lama lagi

Jan 4, 2024 | 12:34 PM

MB Kedah dakwa peralihan kerajaan M’sia tidak lama lagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
BUAT DAKWAAN: Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa perubahan kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat.
BUAT DAKWAAN: Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa perubahan kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat. - Foto ihsan MUHAMMAD SANUSI MD NOR

ALOR SETAR: Drama ‘Langkah Dubai’ masih belum tamat apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pula mengesahkan wujudnya rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, ia akan dilakukan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan Kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen (AP) PN.

“Saya rasa apa-apa proses yang dibenarkan undang-undang boleh dilakukan mengikut apa yang dibenarkan Perlembagaan bagi menyatakan sokongan kepada sesiapa.

“Yang lima orang (Ahli Parlimen PN) sokong (kerajaan) tak ada siapa kata apa, (malah) mereka seronok. Kalau sokongan lima orang itu digambarkan sebagai berperlembagaan berdasarkan demokrasi, tindakan sebaliknya juga biasa sahaja.

“Mereka boleh ambil lima, kalau kita boleh ambil 10 takkan nak marah? Sokong dia tak apa, tak sokong dia takkan tak boleh? Tentu boleh juga,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 3 Januari.

Datuk Sanusi berkata kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama.

“Jadi itu proses biasa dalam demokrasi, dibenarkan Perlembagaan. Saya rasa itu lompong dalam Akta Antilompat Parti yang menunjukkan jalan lompong itu adalah mereka, jadi kita lalu sahaja.

“Saya tak fikir ia Langkah Dubai, (mungkin) Langkah Chow Kit kerana perkara itu dibincang di Kuala Lumpur. Saya rasa Dubai itu dummy (helah) sahaja sebab mereka nak berjalan ke Dubai.

“(Mungkin) ada Langkah Alor Setar kerana dibincang di Alor Setar, ada langkah Bera, ada langkah Sembrong. Semua itu boleh dibuat ikut Perlembagaan.

“Kita sentiasa mencuba, pihak satu lagi bertahan macam lawan bola. Takkan biarkan mereka sahaja jaring gol, kita tak boleh jaringkah? Jadi kalau kita jaring gol, jangan marah,” katanya.

Datuk Sanusi juga yakin Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat ditumbangkan dalam tempoh terdekat ini.

“Tentu mereka takut benda nak hilang. Kita yang nak pergi ambil memang seronok kalau berlaku. Saya yakin akan berlaku, tak akan bertahan lima tahun.

“Mereka akan tumbang melalui peralihan sokongan. Saya tahu bila tapi tak boleh beritahu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg