Menjelang penghujung tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Menteri Besar sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun, mungkin antara pemimpin paling berdebar menantikan hari pengundian pada 1 Ogos.

Ini kerana sebagai ‘panglima perang’ Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan, beliau bukan sahaja menantikan keputusan rakyat terhadap gabungan itu.

Malah turut berdepan cabaran yang disifatkan ramai sebagai pertaruhan yang berpotensi membawa kekalahan dan percaturan paling berisiko dalam karier politiknya – untuk membuktikan kemampuan memecah dominasi Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, kubu kuat Umno/BN.

Dalam persaingan sengit antara dua gabungan utama, PH dan BN pada PRN Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin yang turut dinamakan sebagai ‘poster boy’ PH juga dilihat berdepan saingan tidak langsung dengan tokoh politik nasional dari Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ini kerana Datuk Mohamad yang bertanding mempertahankan DUN Rantau ialah mantan Menteri Besar Negeri Sembilan yang kini menyandang jawatan Menteri Luar Malaysia, dan dilihat memberi pengaruh besar dalam menarik sokongan pengundi kepada BN.

Mengulas peluang Datuk Aminuddin di DUN Linggi, penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berpendapat Pengerusi PH Negeri Sembilan itu masih mempunyai peluang mencipta kemenangan, namun mengakui laluan berkenaan bukan mudah di kubu kuat BN itu.

“Potensi itu saya lihat ada, tetapi saya rasa agak tipis untuk beliau merampas kerusi milik BN,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau berkata sekiranya Datuk Aminuddin tewas, ia boleh dianggap sebagai satu pengorbanan politik demi strategi PH, namun kekalahan itu juga akan memberi kesan besar terhadap persepsi pengundi.

Menurutnya, Datuk Aminuddin telah dinamakan sebagai calon Menteri Besar PH, justeru kekalahannya akan menimbulkan tanggapan bahawa gabungan itu turut berdepan kesukaran untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tambah beliau isu berkaitan adat dan institusi diraja Negeri Sembilan masih berpotensi mempengaruhi corak pengundian terhadap Datuk Aminuddin, walaupun ia tidak banyak diketengahkan sepanjang tempoh berkempen.

“Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/BN sebelum ini menarik balik sokongan terhadap Datuk Aminuddin berpunca daripada isu berkenaan.

“Ia sekali gus menjadikannya antara faktor yang boleh menentukan kemenangan atau kekalahan PH kerana Datuk Aminuddin dituduh dalang yang mencampuri urusan berkaitan Adat Perpatih,” katanya Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu.

Pada masa sama Profesor Azmi berpandangan pencapaian Datuk Aminuddin sebagai Menteri Besar sukar dibandingkan dengan rekod Datuk Mohamad ketika Ahli Parlimen Rembau itu menerajui Negeri Sembilan.

Menurutnya, legasi yang ditinggalkan Datuk Mohamad sepanjang mentadbir negeri itu masih menjadi penanda aras yang sukar ditandingi, termasuk oleh Datuk Aminuddin sendiri.

Datuk Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah Adun Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada pada PRU 2008.

Beliau juga mengambil alih kerusi Parlimen Port Dickson sejak PRU 2022 selepas Datuk Anwar yang memegang kerusi itu pada 2018 hingga 2022.

Untuk itu Profesor Azmi tidak menolak kemungkinan faktor itu boleh membantu Datuk Aminuddin untuk memenangi kerusi DUN Linggi.

“Kerus Parlimen Port Dickson dimenangi Datuk Aminuddin dengan begitu selesa lebih 23,000 majoriti.

“Tetapi hakikatnya kemenangan itu mungkin diselaputi oleh populariti Datuk Anwar yang juga AP sebelum itu. Jadi mungkin limpahan populariti Datuk Anwar itu yang membuatkan Datuk Aminuddin menang bergaya.

“Jadi perpindahan beliau dari kerusi tradisinya di DUN Sikamat ke DUN Linggi itu saya lihat sebagai sebahagian strategi PH untuk merampas kerusi milik BN di Linggi,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, berkata kebarangkalian Datuk Aminuddin tewas di DUN Linggi dilihat lebih tinggi berbanding peluang untuk mencipta kemenangan.

Ini meskipun kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson memberinya beberapa kelebihan dari segi pengaruh, jaringan politik serta rekod perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Prestasi Datuk Aminuddin sepanjang menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar tidak boleh dinafikan dan mempunyai nilai tersendiri di mata sebahagian pengundi.

“Namun, faktor itu sahaja mungkin tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan di Linggi.

“Keputusan Datuk Aminuddin meninggalkan kerusi DUN Sikamat yang disandangnya untuk bertanding di DUN Linggi merupakan satu pertaruhan politik yang besar memandangkan kawasan itu secara tradisinya dianggap sebagai kubu kuat BN.

“Faktor lokaliti, corak pengundian serta kesetiaan pengundi di Linggi jauh berbeza berbanding di Sikamat.

“Justeru, walaupun beliau mempunyai rekod pentadbiran yang baik, cabaran untuk menawan kerusi itu tetap besar,” kata Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.