Topik diikuti
Pergi ke BHkuLubang benam di Wangsa Maju, KL bukan akibat tanah mendap
Lubang benam di Wangsa Maju, KL bukan akibat tanah mendap
Lubang benam di Wangsa Maju, KL bukan akibat tanah mendap
KUALA LUMPUR: Kejadian lubang benam di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 11 Mei, berkemungkinan berpunca akibat kerja-kerja penyelenggaraan utiliti.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, berkata berdasarkan pemantauan pihaknya kejadian itu bukan disebabkan tanah mendap seperti didakwa di media sosial.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengambil tindakan menutup jalan raya selama dua minggu di lokasi terbabit sementara kerja siasatan dan pembaikan dijalankan.
“Kejadian lubang benam seperti itu lazimnya berpunca daripada paip pembetungan atau sistem perparitan yang pecah sehingga menyebabkan ruang lopong di bawah tanah.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat main drain (saliran utama) dengan diameter kira-kira 1.5 meter dan sum longkang di lokasi itu...tembok sum terbabit pecah dan runtuh,” katanya pada sidang media di Menara DBKL, pada 12 Mei.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Datuk Fadlun berkata, terdapat kemungkinan kerja utiliti berkenaan terkena pada struktur tembok sehingga pecah dan menyebabkan air longkang mengalir ke dalam tanah sebelum membentuk lubang benam.
“Kita dapati tembok sistem itu pecah dan kita tidak jumpa ke mana runtuhannya pergi.
“Bersebelahan kawasan itu pula ada utiliti dan kemungkinan terdapat kerja utiliti menggunakan kaedah Horizontal Directional Drilling (HDD) yang dilakukan di bawah tanah tanpa dapat dilihat secara mata kasar,” katanya.
Bagaimanapun, Datuk Fadlun berkata, DBKL masih menjalankan siasatan terperinci bersama semua penyedia utiliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kawasan itu kini ditutup kira-kira empat meter panjang dan empat meter lebar. Ini bukan disebabkan tanah mendap, tetapi berkaitan sistem perparitan sahaja,” katanya.
Mengulas satu lagi kejadian lubang kecil berhampiran di kawasan pejalan kaki di Jalan Tun Perak, Datuk Fadlun berkata, ia adalah kes berasingan dan hanya membabitkan kerosakan cetek kira-kira satu kaki.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, DBKL sudah menyiapkan hampir 90 peratus kerja pemetaan utiliti bagi laluan sepanjang 32 kilometer di sekitar Jalan Masjid India.
Katanya, kerja pembaikan laluan pejalan kaki di kawasan itu dijangka bermula Oktober depan dengan pemasangan penanda khas, ‘settlement marker’ bagi memantau sebarang pergerakan tanah secara masa nyata.
“Sekiranya berlaku pergerakan tanah, kita akan dapat bacaan masa nyata dan boleh mengambil tindakan segera.
“Teknologi sama turut akan dipasang di 1,120 kawasan cerun di sekitar ibu negara yang dikenal pasti berisiko.
“Marker itu mempunyai peranti yang disambungkan terus ke pusat kawalan DBKL untuk pemantauan berterusan,” katanya.
Pada pagi 23 Ogos 2024 lalu, seorang pelancong wanita warga India hilang tanpa jejak selepas terjatuh ke dalam lubang benam kira-kira lapan meter yang terbentuk tiba-tiba. Usaha pencarian selama sembilan hari oleh pihak berkuasa gagal menemui jasad mangsa.
Tragedi itu menyebabkan Malaysia menjadi perhatian media dunia dan kerajaan menjalankan pelbagai proses penambahbaikan keselamatan dan utiliti bawah tanah bagi mengelak kejadian sama berulang. – Agensi berita.
