Topic followed successfully
Go to BHkuKonvensyen PKR Johor panas, AP Pasir Gudang ‘serang’ Naib Presiden
Konvensyen PKR Johor panas, AP Pasir Gudang ‘serang’ Naib Presiden
Konvensyen PKR Johor panas, AP Pasir Gudang ‘serang’ Naib Presiden
JOHOR BAHRU: Konvensyen Keadilan Johor pada 5 April tegang apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, diganggu oleh ‘serangan’ Ahli Parlimen (AP) Pasir Gudang, Encik Hassan Karim.
Semasa ucapan tersebut, Datuk Ramanan, membuat kritikan terbuka yang dipercayai dituju kepada mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Encik Hassan yang hadir dalam konvensyen secara tertutup tersebut dikatakan tidak berpuas hati sebelum menjerit ke arah Datuk Ramanan.
Serangan secara terbuka itu dibuat ketika konvensyen berkenaan sedang berlangsung di Cathay Restaurant, Ecospring, Johor Bahru, pada 5 April.
Bagaimanapun, siaran langsung konvensyen tersebut kemudian disenyapkan sebaik serangan tersebut bermula.
Konvensyen berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor MalaysiaGazette.
Terdahulu, Datuk Ramanan ketika berucap menegaskan, parti tidak boleh berpecah atau dibelenggu polemik dalaman yang melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Beliau mengingatkan kekuatan sebenar parti terletak pada penyatuan hati serta disiplin seluruh jentera di setiap peringkat.
Dalam nada tegas, beliau turut menyentuh sikap individu yang dilihat kerap mengkritik parti secara terbuka sehingga memberi ruang kepada pihak lawan untuk memanipulasi keadaan.
Kenyataan itu dilihat sebagai merujuk kepada Datuk Rafizi yang kebelakangan ini sering mengeluarkan pandangan kritikal terhadap hala tuju parti dan kepimpinan.
“Ini bukan masanya untuk kita berbalas kenyataan di luar.
“Setiap perbezaan pandangan harus diselesaikan secara dalaman demi menjaga kekuatan parti,” katanya.
Sementara itu, Datuk Rafizi secara sinis dilihat ‘menikmati’ pertikaman lidah antara Datuk Ramanan dengan Encik Hassan, ketika Konvensyen PKR Johor.
Dalam hantaran di media sosial, Datuk Rafizi, menyindir ‘bahang’ politik yang semakin memuncak dalam parti sehingga mencetuskan perbalahan terbuka di pelbagai peringkat kepimpinan.
“Rupanya sebab politik PKR makin panas di semua peringkat dari konvensyen hingga ke mesyuarat agung tahunan.
“Saya tak tahu apa-apa sebab duduk di rumah,” katanya.
Sindiran itu dibuat dalam nada santai namun sarat mesej politik susulan ketegangan dalaman parti yang kembali menjadi perhatian.
Beliau turut berseloroh pada awalnya menyangka suhu panas di rumah berpunca daripada cuaca sebelum menyedari ia sebenarnya ‘bahang’ politik PKR sendiri.
“Aku ingat suhu kat rumah ni panas sebab cuaca kat luar panas,” katanya.
Beliau turut berseloroh pergolakan politik dalaman PKR memberi ‘peluru’ untuk beliau terus mengulas isu setiap minggu malah mengakui jika tiada isu politik, beliau mungkin hanya akan menghasilkan kandungan mengenai kucing peliharaannya.

