JOHOR BAHRU: Semakin ramai warga asing termasuk pendatang haram dikesan bebas bekerja di restoran dan kedai pembungkusan sayur di bandar raya ini tanpa permit kerja yang sah.

Kegiatan itu dibongkar susulan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 77 warga asing menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak 27 April.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi ‘Ops Selera’ yang dijalankan pada 2 petang, 27 April, membabitkan sepasukan pegawai dari bahagian penguat kuasa Johor.

Menurutnya, operasi yang dijalankan serentak di beberapa premis makanan mengesan kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas yang sah serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.

Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus sumber manusia turut ditahan bagi membantu siasatan, lapor Harian Metro.

“Seramai 39 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk 20 lelaki dewasa warga Myanmar; 10 lelaki dewasa warga Bangladesh; dua lelaki dewasa warga Indonesia; seorang perempuan dewasa warga Bangladesh; dan enam perempuan warga Myanmar.

“Mereka yang bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak berusia antara 19 dengan 46 tahun.

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Sebanyak empat keping borang 29, iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan, untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata manakala pada 28 April, pihaknya turut melaksanakan operasi, ‘Ops Mahir’ mulai 10 pagi di tempat pembungkusan sayur.

“Serbuan berkenaan adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu berkaitan kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian lebih tinggi.

“Operasi ini memberi tumpuan ke atas lokasi pembungkusan sayur yang mengambil pekerja warga asing tanpa kebenaran dan gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Turut ditahan seorang warga tempatan yang juga pengurus premis kerana melindungi warga asing,” katanya.

Beliau berkata hasil serbuan, seramai 38 warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, selain dipercayai menyalahgunakan pas lawatan untuk tujuan bekerja.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 27 lelaki dewasa warga Indonesia; seorang lelaki dewasa warga China; dan 10 perempuan dewasa warga Indonesia, berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 54 tahun.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“JIM Johor memandang serius isu salah guna pas dan kemudahan yang diberikan kepada warga asing dan akan terus aktif memerangi serta membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (pati) di negeri Johor,” katanya.