Kes rasuah RM1b projek lebuh raya di M’sia: Dua lagi ditahan SPRM
Kes rasuah RM1b projek lebuh raya di M’sia: Dua lagi ditahan SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu iaitu pengerusi sebuah syarikat dan pengarah syarikat subkontraktor bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai lebih RM1 bilion ($290 juta) membabitkan projek lebuh raya di Lembah Klang.
Perintah reman terhadap kededua lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an tahun itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Pengerusi syarikat bergelar ‘Datuk’ itu direman hingga 6 Julai, manakala pengarah syarikat subkontraktor direman hingga 4 Julai.
Sumber memaklumkan kedua-dua suspek ditahan antara 9 malam hingga 12 tengah malam pada 1 Julai selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
“Mereka disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan syarikat lain.
“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan sama,” katanya, lapor Astro Awani.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mengesahkan semua suspek yang ditahan berkaitan siasatan kes itu sebelum ini telah dilepaskan pada 2 Julai selepas tamat tempoh reman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsesi lebuh raya dengan jaminan RM150,000.
Sebelum ini SPRM dilaporkan telah menahan sembilan individu bagi siasatan kes rasuah berkenaan.

