SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kes pijak Al-Quran di Pahang: Penuntut dibuang universiti

Kes pijak Al-Quran di Pahang: Penuntut dibuang universiti

Mar 25, 2026 | 2:20 PM

Kes pijak Al-Quran di Pahang: Penuntut dibuang universiti

penistaan al-Quran, UMPSA, keharmonian kaum
Pada 3 Mac lalu, S Vikneswaran, 21 tahun (dua dari kanan), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, atas tuduhan mencemarkan al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu pada 22 Februari lalu. - Foto fail BERNAMA

KUANTAN: Penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan, Pahang, yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mencemarkan Al-Quran dan melakukan hantaran jelik melampau di media sosial, telah dibuang dari universiti itu.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Yatimah Alias, berkata proses tatatertib terhadap penuntut lelaki itu telah selesai baru-baru ini selepas Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA bersidang pada 9 Mac lepas.

“Berdasarkan tindakan tatatertib, penuntut itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Mac, lapor laman web Astro Awani.

Profesor Yatimah berkata pihak universiti berharap keputusan berkenaan dapat menjadi pengajaran kepada seluruh warga universiti sama ada mahasiswa mahupun kakitangan agar lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan atau tindakan supaya tidak mencemar nama baik institusi.

Menurut Profesor Yatimah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan yang menghasut kebencian melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam di Malaysia.

Pada 3 Mac lalu, pelajar UMPSA, S Vikneswaran, 21 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan telah mencemarkan kitab suci penganut Islam, iaitu Al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu pada 22 Februari lalu.

Lelaki itu juga didakwa telah menggunakan akaun media sosial Threads di bawah nama ‘ryandaselva’ secara sedar dan telah membuat penghantaran yang jelik dan melampau sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mahkamah membenarkan penuntut itu diikat jamin RM10,000 ($3,234) bagi kedua-dua tuduhan dan mengarahkannya melapor diri di balai polis setiap bulan, serta menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu pada 25 Februari lalu, pemuda itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam melalui tindakan memijak Al-Quran dan memuat naik perbuatan tersebut ke media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, memaklumkan bahawa sebanyak 82 laporan polis diterima di seluruh Malaysia berkaitan isu itu, yang mencetuskan kemarahan masyarakat, terutama umat Islam.

Kes tersebut menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi berikutan sensitiviti perbuatan pemuda terbabit yang menyentuh kesucian agama serta keharmonian masyarakat.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg