Topic followed successfully
Go to BHkuKes pelepasan tanpa pembebasan Zahid Hamidi: Mahkamah Rayuan tolak bantahan Peguam Negara
Kes pelepasan tanpa pembebasan Zahid Hamidi: Mahkamah Rayuan tolak bantahan Peguam Negara
Kes pelepasan tanpa pembebasan Zahid Hamidi: Mahkamah Rayuan tolak bantahan Peguam Negara
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada 8 April menolak bantahan awal Peguam Negara terhadap rayuan Badan Peguam berhubung keputusannya memberhentikan prosiding kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membabitkan Dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin, sebulat suara, menolak bantahan awal itu, namun menetapkan untuk mendengar rayuan utama Badan Peguam pada petang 8 April.
Turut bersidang, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Faizah yang membacakan penghakiman berkata kedudukan Peguam Negara untuk memohon Datuk Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), dan seterusnya membuat keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) terhadap kes yang melibatkan responden kedua (Datuk Ahmad Zahid) adalah dua isu yang berasingan.
Beliau berkata hakikat perayu memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan NFA oleh Peguam Negara, tidak menjadikan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA, sebagai akademik.
“Lebih-lebih lagi apabila masih wujud prosiding yang hidup dan berterusan untuk mencabar keputusan Peguam Negara untuk seterusnya mengklasifikasikan kes terhadap responden kedua sebagai NFA, dan permohonan pembebasan oleh responden kedua yang masih menunggu keputusan di Mahkamah Tinggi.
“Pada hemat kami, hakikat bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan seterusnya untuk mengklasifikasikan kes terhadap responden kedua sebagai NFA sebelum rayuan ini didengar, tidak menghalang mahkamah ini daripada mendengar rayuan sebenar berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara untuk memohon DNAA,” katanya.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan pada 26 Jun 2024.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Datuk Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepaskan tanpa dibebaskan pada 4 September 2023, dibatalkan.
Sebelum itu, pada 12 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata pihaknya bukan bertindak atas ‘dasar suka suka’ dalam menentukan keputusan NFA diambil terhadap 47 pertuduhan rasuah Yayasan Akalbudi, membabitkan Datuk Ahmad Zahid.
Sebaliknya, beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta dan undang-undang dibangkitkan dalam perwakilan oleh peguam yang mendorong pihaknya bertindak menyemak semula kes berkenaan.

