Kes bunuh kanak-kanak autistik: Ibu bapa direman, pengasuh dipanggil
Kes bunuh kanak-kanak autistik: Ibu bapa direman, pengasuh dipanggil
KUALA LUMPUR: Petunjuk baru yang diperoleh polis terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada 6 Disember 2023 membawa kepada tangkapan ibu bapanya yang kini ditahan reman tujuh hari hingga 7 Jun ini.
Malah selain ibu bapa, polis turut memanggil beberapa individu termasuk bekas pengasuh Zayn Rayyan bersama dua anggota keluarganya pada 3 Jun untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan perkara itu.
Penahanan ibu bapa Zayn Rayyan itu mengejutkan keluarga dan seluruh Malaysia, selepas enam bulan kejadian mayat kanak-kanak malang itu ditemui di anak sungai, kira-kira 100 meter dari kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penahanan ibu bapa kanak-kanak itu, yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain, dilaporkan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu bapa kanak-kanak itu, yang ditahan di sekitar Puncak Alam, Selangor, pada 31 Mei lalu.
“Bagi (ruang) pihak polis untuk menyiasat (dengan) tangkapan kedua ibu bapanya (Zayn Rayyan). Buat masa ini (tiada tangkapan lain), itu sahaja,” katanya, lapor Harian Metro.
Datuk Hussein dalam pada itu menjelaskan penahanan ibu bapa Zayn Rayyan adalah susulan risikan yang dijalankan pihak polis bermula dari hari kejadian sehingga sekarang.
“Tangkapan ini dijalankan untuk bantu siasatan dan motif pembunuhan,” katanya yang mengesahkan polis turut merampas telefon bimbit suami isteri berusia 28 tahun itu bagi membantu siasatan.
Sementara itu peguam yang mewakili pasangan itu, Encik Mahmud Abdul Jumaat, berkata ibu bapa Zayn Rayyan memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang ditahan.
Sebelum direman, ibu Zayn Rayyan aktif memuat naik hantaran meluah kerinduan terhadap anak sulungnya itu, namun sejak ditangkap, akaun Instagramnya didapati sudah dinyah aktif.
Pada 6 Disember 2023, negara digemparkan dengan penemuan mayat Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang pada 5 Disember ketika dijemput pulang dari sekolah oleh ibunya.
Wujud persoalan kerana gerakan awal mencari mangsa oleh pihak berkuasa dengan bantuan penduduk setempat sudah dilakukan di kawasan mayat Zayn Rayyan ditemukan di anak sungai terbabit sebanyak tiga kali oleh Unit Anjing Pengesan (K9) polis pada 6 Disember 2023, bagaimanapun gagal menemui mangsa.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 malam pada 6 Disember oleh seorang penduduk di kawasan itu.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan perbuatan jenayah.

