Kampung Sungai Melayu di Iskandar Puteri dijangka mampu menarik antara 3,000 dengan 4,000 pengunjung setiap minggu apabila beroperasi sepenuhnya, dengan hampir separuh daripadanya dijangka datang dari Singapura.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata unjuran itu dibuat berdasarkan kedudukan strategik kampung berkenaan yang berhampiran Tambak Johor serta peningkatan minat pelancong terhadap produk ekopelancongan.

Menurut beliau, ketika ini Kampung Sungai Melayu menerima kira-kira 1,800 pengunjung dengan jumlah lebih tinggi pada hujung minggu.

Pembangunan prasarana pelancongan di kawasan itu kini hampir siap sepenuhnya dengan sebahagian projek telah mencapai 99 peratus kemajuan, jelas beliau.

“Keseluruhan projek berjalan mengikut jadual tanpa kelewatan ketara dan hanya tinggal beberapa kerja akhir sebelum ia dirasmikan sepenuhnya.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dalam memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara terancang dan bermutu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Ketika meninjau projek berkenaan, Datuk Pandak berkata antara pembangunan utama yang dilaksanakan termasuk Projek Gerbang Salam, Hentian Leluri, Jeti Awam Sungai Melayu, Jeti Nelayan serta Titian Perepat dan Tanjung Tok Fattah.

Menurutnya, pembangunan itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pelancongan, malah bertujuan memperkasa masyarakat setempat melalui peluang ekonomi baru.

Antara inisiatif yang sedang dirancang ialah perkhidmatan teksi air yang akan dikendalikan penduduk kampung bagi menghubungkan Pantai Lido dan Danga Bay ke Kampung Sungai Melayu serta Puteri Harbour.

“Pada peringkat awal, kita merancang menyediakan empat bot dengan kapasiti antara 20 dengan 30 penumpang bagi setiap perjalanan.

“Perkhidmatan ini akan menambah tarikan pelancongan selain aktiviti sedia ada seperti menaiki bot ke kawasan paya bakau,” katanya.

Beliau berkata pembangunan ekopelancongan itu dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk termasuk nelayan, pengusaha inap rakit dan usahawan kecil.

Pendekatan pembangunan yang dilaksana tambah beliau, memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan budaya.

Usaha itu selari dengan agenda Maju Johor yang menekankan pembangunan menyeluruh, mampan dan memberi pulangan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pelancongan konvensional semata-mata. Ekopelancongan adalah masa depan yang berteraskan kelestarian dan penyertaan masyarakat.

“Kita mahu Kampung Sungai Melayu menjadi model pelancongan masyarakat yang boleh dijadikan penanda aras di peringkat antarabangsa,” katanya.