Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar kes jenayah di M’sia meningkat 11% pada 2024

Oct 17, 2025 | 12:02 PM
jenayah, malaysia
Peningkatan kes jenayah harta benda menjadi penyumbang terbesar peningkatan kadar kes jenayah di Malaysia pada 2024. - Foto hiasan ASTRO AWANI

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 58,255 kes jenayah indeks pada 2024, meningkat 11.1 peratus berbanding 52,444 kes pada 2023.

Menurut Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2025 ,yang merangkumi data jenayah bagi tempoh 2022 hingga 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan itu didorong terutama oleh jenayah harta benda yang melonjak 12.4 peratus kepada 47,188 kes.

Manakala jenayah kekerasan turut meningkat 5.9 peratus dengan 11,067 kes direkodkan.

Bagaimanapun, kes bunuh menunjukkan penurunan ketara, turun 9.5 peratus kepada 237 kes.

“Kes bunuh tanpa niat kekal rendah dengan dua kes saja, manakala kes penculikan juga menurun kepada 17 kes, termasuk 11 kes melibatkan kanak-kanak”, kata laporan tersebut, lapor Astro Awani.

Selain itu, kes jenayah seksual mencatatkan corak bercampur.

Kes rogol meningkat 12.1 peratus kepada 1,899 kes, dengan peningkatan ketara bagi rogol dengan rela (29.3 peratus), namun penurunan 15.3 peratus bagi rogol dengan paksaan.

Trend itu dipercayai mencerminkan perubahan dalam corak pelaporan dan kesedaran masyarakat.

Sementara itu, kes samun menurun 6.8 peratus kepada 4,276 kes, dengan majoriti melibatkan mangsa individu (41.7 peratus); diikuti kes lain-lain (38.2 peratus); premis (13.5 peratus); dan kenderaan (6.7 peratus).

Kes pecah rumah dan curi turut menurun 1.8 peratus, dengan 77.6 peratus kejadian berlaku pada waktu malam.

Sebaliknya, kes dadah terus meningkat naik 10.6 peratus kepada 81,090 kes, termasuk peningkatan 4.6 peratus bagi kes bekalan dan 12.7 peratus bagi pemilikan dadah.

Trend itu menunjukkan penguatkuasaan lebih agresif dan kemungkinan peningkatan penggunaan bahan terlarang dalam masyarakat.

Di samping itu, tangkapan berkaitan kes suapan (rasuah) meningkat 24.6 peratus dengan 764 individu ditahan. Kes memberi suapan melonjak 51.2 peratus.

“Kes menerima suapan naik 20.3 peratus menunjukkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras amalan rasuah

“Penyelewengan barang kawalan juga meningkat 19.1 peratus kepada 2,243 kes, dengan diesel (30 peratus), petrol (26.7 peratus), dan minyak masak (19.8 peratus) menjadi bahan paling banyak diseleweng,” tambah laporan tersebut.

Buat pertama kalinya, laporan ini diselaraskan sepenuhnya dengan Klasifikasi Jenayah Antarabangsa untuk Tujuan Statistik (ICCS) Versi 1.0 oleh Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) membolehkan perbandingan antarabangsa yang lebih tepat serta analisis jenayah yang lebih menyeluruh merentasi 11 kategori utama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg