SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

JPJ gantung tugas 2 anggota susulan video pandu cuai, terlibat nahas maut

JPJ gantung tugas 2 anggota susulan video pandu cuai, terlibat nahas maut

Mar 24, 2026 | 2:02 PM

JPJ gantung tugas 2 anggota susulan video pandu cuai, terlibat nahas maut

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung tugas serta-merta dua anggotanya sementara siasatan dijalankan berhubung dua kejadian membabitkan kenderaan jabatan itu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata ia termasuk kes melibatkan kemalangan maut di Tanah Merah, Kelantan, pada 20 Mac lalu, dan satu insiden berkaitan video tular menunjukkan kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar, namun, kededuanya membabitkan anggota dan kenderaan yang sama.

“Insiden pertama melibatkan video tular kenderaan JPJ melanggar (memotong) garisan berkembar di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), yang berada di bawah bidang kuasa siasatan dalaman jabatan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan siasatan,” katanya semasa sidang media selepas melaksanakan pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 di Pusat Kawalan Menora, di Ipoh, Perak, pada malam 23 Mac, lapor Harian Metro.

Menurut Datuk Aedy Fadly, kejadian kedua melibatkan kemalangan maut di KM85.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga, Tanah Merah, di Kelantan, pada 20 Mac lalu, yang membabitkan kenderaan JPJ dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Kes kemalangan ini kita serahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan lanjut dan JPJ tidak terlibat dalam siasatan tersebut, namun kita sahkan bahawa kedua-dua insiden melibatkan kenderaan dan anggota yang sama, namun berlaku pada hari berbeza.

“Terdapat kekeliruan dalam kalangan netizen yang mengaitkan kedua-dua kejadian itu sebagai berlaku pada hari yang sama dan spekulasi yang mengatakan ia berlaku pada hari yang sama adalah tidak tepat,” katanya.

Sebelum ini JPJ Kelantan dilaporkan menolak dakwaan bahawa kenderaan pelbagai guna (SUV) milik jabatan itu mengejar sebuah lori sehingga mencetuskan kemalangan maut di Tanah Merah.

Datuk Aedy Fadly menjelaskan kedua-dua anggota berkenaan akan ditempatkan di ibu pejabat jabatan sepanjang tempoh penggantungan bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, JPJ memberi jaminan bahawa siasatan dalaman akan dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana anggota yang didapati melakukan kesalahan.

Terdahulu kejadian berkenaan mencetuskan perhatian umum selepas video kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar tular di media sosial, selain kemalangan maut yang melibatkan kenderaan jabatan itu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg